Rabu, 23 Oktober 2013

Tips Menangani Stress

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google

Stress atau tekanan boleh menjadikan kehidupan kita tidak bahagia. Kadang-kadang hingga menyebabkan seseorang itu gila atau sakit mental. Banyak perkara yang boleh menjadi sebab kepada stress. Mungkin kerana dimarahi bos, mungkin kerja yang dilakukan tidak dapat memenuhi kehendak orang atasan, atau mungkin juga hubungan cinta, keluarga dan kewangan anda sedang dilanda badai.

 
Jika terlalu difikirkan ianya akan menjadikan hidup anda semakin tertekan. Namun masih tidak dapat mencari jalan penyelesaian. Sesiapa pun akan tertekan dan mengalami stress jika berada dalam situasi begini. Bagi anda yang sedang mengalami stress yang melampau, tidak kiralah kerana kerja, cinta, keluarga, orang sekeliling atau kewangan, tips di bawah ini mungkin boleh membantu anda bagi menguruskan stress dengan betul.

1) Uruskan Masa Dengan Efektif

Anda boleh cuba menyusun jadual atau perancangan bagi tugasan yang perlu disiapkan. Susunkan mengikut kepentingan dan tarikh akhir. Dengan cara ini, anda akan merasa lebih tenang dan sistematik dalam melakukan tugasan yang banyak. Jangan lupa untuk menyediakan waktu rehat untuk diri sendiri. Di samping dapat melepaskan penat, waktu rehat ini boleh anda gunakan untuk melakukan aktiviti kegemaran dan bersantai dengan rakan atau keluarga. Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan tekanan yang anda alami.

2) Jangan Ambil Jalan Mudah - Elakkan Mengambil Dadah atau Alkohol

Jangan sekali-kali terfikir untuk terjebak dengan benda-benda yang boleh merosakkan diri dan masa depan anda. Dadah atau alkohol hanya sekadar menghilangkan masalah dan tekanan untuk sementara. Apa yang pasti, bukan sahaja masalah tidak selesai, malahan anda akan terlibat dengan masalah yang lebih parah.

3) Rehat Seketika

Sayangi diri sendiri. Pastikan anda memberi ganjaran pada tubuh badan yang sudah letih melakukan pelbagai kerja. Bila badan dan otak kita letih, kita akan lebih mudah tertekan. Jadi, jangan terlalu memaksa diri. Lakukan regangan, berjalan atau berbual rakan untuk seketika. Kemudian kembalilah melakukan kerja anda. Jangan ambil kesempatan untuk mengular pula ya.

4) Dapatkan Teman Berkongsi Masalah

Selalu juga kita dengar nasihat supaya meluahkan masalah yang kita hadapi. Ya, jika terlalu tertekan dengan sesuatu perkara, adalah lebih baik untuk kita bercerita dengan sesiapa yang sudi mendengar. Walaupun tidak dapat membantu, sekurang-kurangnya tekanan akan berkurang sedikit selepas meluahkan apa yang terbuku di hati.

5) Jauhi Gangguan

Kalau boleh, jauhkan segala bentuk gangguan yang anda tidak suka. Cari tempat yang sunyi dan memberikan anda ketenangan.

6) Faktor Makanan

 Elakkan mengambil makanan yang tinggi lemak, gula dan sodium. Sekiranya bercadang untuk keluar sepanjang hari, pastikan anda mengambil dan makan makanan yang menyihatkan. Jika tidak, ia akan menyebabkan tahap tenaga menjadi rendah. Bils keletihan mulalah rasa nak marah dan sebagainya datang dan menyebabkan stress.

7) Lakukan Meditasi

Ia senaman yang bagus dan menyihatkan. Ini termasuklah bernafas dengan dalam-dalam yang dapat meningkatkan kerehatan pada otot-otot tubuh. Dan jangan lupa mengimaginasikan suasana yang menenangkan fikiran.

8) Berfikiran Positif dan Belajar Kawal Keinginan

Kadang-kadang disebabkan target terlalu tinggi, kita akan mula stress untuk mencapai piawaian yang kita sendiri tetapkan. Sebaliknya fokus dan katakan sesuatu yang positif pada diri setiap hari. Jangan terlalu mengharap dan membuang masa mengenai sesuatu perkara yang tidak dapat ditukar atau dicapai. Elak dari menumpukan kepada perkara atau fikiran negatif.

9) Dapatkan Nasihat

Minta pertolongan, nasihat dan pandangan tidak bermakna anda lemah. Terdapat banyak sumber yang dapat membantu anda menyelesaikan stress. Jadi jangan malu untuk menemui atau mendengar nasihat oleh pakar motivasi atau kaunselor.


10) Katakan 'TIDAK'

Kita seringkali rasa bersalah untuk mengatakan tidak pada orang yang meminta tolong pada kita. Melakukan kerja lain ketika sibuk akan menyebabkan anda bertambah tertekan. Berbincanglah dengan bos anda jika menghadapi masalah berkaitan kerja.

11) Tidur yang Cukup

Tidurlah sekurang-kurangnya 6 - 8 jam sehari. Tetapi  tidur akan terganggu apabila terlalu letih dan stress memikirkan tugasan dan bagaimana mahu menyiapkan kerja yang bertimbun.

12) Bersenam

Aktiviti fizikal adalah cara terbaik untuk menangani tekanan. Ia akan merembeskan endorphin dan memberikan kesegaran secara semulajadi.

 13) Menarik Nafas Dalam-dalam

Bernafas dengan cepat akan meningkatkan tindak balas tekanan. Tarik nafas dalam-dalam dan hembuskan sekuat hati. Bukan bermaksud untuk mengeluh tetapi ini adalah salah satu terapi yang paling mudah untuk dilakukan di mana sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan