Tentunya selepas ini masing-masing akan sibuk mencari kerja malahan sudah ada yang mula bekerja sebaik sahaja habis belajar. Didoakan adik-adik Along akan mendapat pekerjaan yang bagus dan sesuai nanti.
Rasanya tidaklah terlalu awal untuk memberikan sedikit pesanan buat adik-adik yang bakal melangkah ke alam pekerjaan nanti. Lebih baik awal dari terlewat dan lebih baik terlewat dari tidak langsung. Biasa kita dengar tentang ramainya yang seolah-olah terkena kejutan budaya di mana pertama kali menerima wang gaji yang banyak hasil titik peluh sendiri.
Ada di antaranya yang menyerahkan gaji pertama mereka kepada orang tua, alhamdulillah kerana di zaman serba moden ini masih ada anak-anak yang mengenang jasa orang tua. Sebaliknya ada juga yang mengambil peluang berjoli sakan dengan wang gaji pertama kerana kononnya meraikan hasil titik peluh mereka. Selepas itu, belum sampai beberapa hari wang gaji sudah habis dibelanjakan entah ke mana.
Jadi di sini saya ada beberapa pesanan dan panduan untuk anda menguruskan gaji anda nanti.
Simpanan
Pertama sekali adalah simpanan. Sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah gaji anda. Tak cukup? Ya, memang tak cukup, sebab itulah kena simpan dulu, belanja kemudian. Cuba anda fikirkan, kalau anda hendak tunggu hujung bulan iaitu dekat-dekat gaji seterusnya baru hendak menyimpan, belum tentu duit tidak habis. Mungkin yang bergaji besar bolehlah kan. Nak simpan hujung bulan pun boleh juga, jika duit perbelanjaan masih berbaki, tetapi masuk je gaji tetap kena simpan dulu. Kenapa saya nasihatkan begitu? Kerana saya tidak mahu anda menyesal seperti saya sekarang, dulu saya juga terleka kerana waktu itu masih buta tentang pengurusan kewangan hingga ada ketika duit gaji tidak cukup walaupun belum mempunyai tanggungan. Jadi, saya tidak mahu adik-adik semua membuat kesilapan seperti kebanyakan orang lain.
Kenapa kena simpan duit? Sebab anda tentu merancang untuk;
- Bertunang
- Kahwin
- Nafkah
- Beli Kereta
- Beli/sewa rumah – beli barang rumah lagi
- Dah kahwin, ada anak
- Langsai pinjaman PTPTN
Hulurkan Pada Ibubapa
Jangan lupa menghulurkan sedikit wang untuk orang tua kita. Walaupun sedikit ia amat bermakna. Mungkin ada antara ibubapa yang tidak mengharapkan wang dari anak-anak kerana mereka masih lagi bekerja, tetapi sekali-sekala hulurlah juga semasa menjenguk mereka di kampung.
Jangan Joli Sakan
Biasalah, sudah menjadi adat anak-anak muda sekarang suka berlipur lara bersama rakan-rakan sekerja. Keluar makan, membeli-belah, tengok wayang, berjalan-jalan dan sebagainya. Bukan tidak boleh, boleh asal tahu batasnya. Berbelanja secara berhemah malah kalau boleh berbelanja di bawah kemampuan. Tetapi, jarang anak muda yang sanggup melepaskan peluang untuk bersuka ria dengan rakan-rakan. Pandai-pandailah bahagikan perbelanjaan antara untuk berjoli dan yang penting. Belajar kawal nafsu dalam berbelanja. Salah satu caranya ialah pilihlah kawan yang pandai hidup dalam bersederhana kerana kita tidak akan berasa malu jika terpaksa berjimat cermat.
Kadang-kadang ada antara kita jenis yang tidak boleh tengok orang lebih, apa yang orang ada dia mesti ada. Inilah ciri-ciri orang yang akan sentiasa tidak cukup duit. Kita boleh perasan sikap orang seperti ini, sentiasa cakap tidak ada duit tetapi mempunyai selera besar, suka membeli belah malah suka berlagak. Tahu-tahu, minta pinjam wang dari kawan, tidak dapat bayar sewa rumah, minta
makanan dari rakan serumah. Malahan ada yang sampai satu tahap terpaksa mencuri duit rakan serumah.
Cari Ilmu Tentang Kewangan
Jangan kedekut untuk melabur dalam mencari ilmu. Kalau tidak mahu membeli buku, anda boleh sahaja melayari internet untuk dapatkan ilmu. Zaman sekarang ini orang sanggup berhabis beratus ringgit untuk membayar bil internet bagi bermain game online, chatting dan bermacam benda online. Tetapi kurang sekali yang menggunakan kemudahan hujung jari untuk mencari ilmu yang berfaedah. Jadi, rajin-rajinlah mencari ilmu yang berkaitan pengurusan kewangan dan sebagainya.
Belajar Berniaga
Sembilan per sepuluh rezeki adalah melalui perniagaan. Islam juga amat menganjurkan umatnya untuk berniaga. Bermulalah pada skala kecil untuk mencari ilmu sebelum bertindak terjun ke dalam pelaburan dan perniagaan yang memerlukan modal besar kerana dibimbangi tertipu dan menanggung kerugian yang besar.
Saya sendiri pun masih lagi dalam proses belajar meniaga kerana sebelum ini suka memberikan pelbagai alasan untuk bermula. Tapi saya sedar orang yang selalu beralasan adalah orang yang gagal. Kita semua tidak mahu menjadi orang yang gagal kan. Jadi, sama-samalah kita membentuk peribadi yang positif demi masa depan kita dan keluarga.
Sekian dulu perkongsian saya buat kali ini. Semoga apa yang saya kongsikan memberi manfaat kepada kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan