Jumaat, 11 Oktober 2013

Peti Sejuk Tak Sejuk


Seperti biasa, bangun sahaja dari tidur saya akan keluarkan lauk-pauk dari peti sejuk beku sebelum mandi dan mula memasak. Pagi tadi saya kaget apabila melihat makanan dan ais dalam peti sejuk beku saya mencair. Nasib baik ayam dan ikan belum cair sepenuhnya. Kalau tidak alamatnya busuklah ayam dan ikan saya. Alhamdulillah masih ada rezeki kami untuk hari ini.

Saya memeriksa peti bahagian bawah pula, sama juga tidak sejuk seperti biasa. Saya mula risau kerana bahan mentah masih agak banyak.
Saya perhatikan punca kenapa peti saya tidak sejuk, nampak seperti kehabisan gas kerana lubang yang biasanya mengeluarkan gas sejuk hanya mengeluarkan angin sahaja.

Saya memanggil Encik Suami ke dapur untuk melihat keadaan peti kami. Saya berpendapat kami mesti membaikinya sebelum tengahari kerana Encik Suami kerja syif petang hari ini. Jika tidak, bagaimana saya hendak menyimpan bahan mentah yang banyak ni. Encik suami mendapatkan nombor telefon pembaiki peti sejuk di blok kami, nasib baik ada iklan di bawah. Selepas dihubungi, beliau menyatakan akan datang pada sebelah petang. Tetapi saya kurang selesa kerana petang nanti Encik suami tidak ada di rumah. Bila memikirkan keadaan yang terdesak saya terpaksa setuju juga akhirnya.

Selesai memasak dan ingin menyimpan semula baki bahan mentah yang tidak digunakan, saya perasan yang titisan air di dalam peti mula membeku kembali. Tidak percaya dengan pandangan sendiri, saya memanggil Encik suami ke dapur. Ternyata peti kami telah sejuk kembali dengan sendirinya. Alhamdulillah, saya meminta Encik suami membatalkan temu janji tadi kerana peti sudah boleh membeku kembali.

Terima kasih Ya Allah kerana memelihara dan memahami isi hati Hamba-Mu ini. Alhamdulillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan