Ahad, 27 Oktober 2013

Tanggungjawab Suri

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google

Salam hujung minggu buat semua.

الْحَمْدُ للهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرُ

“Segala puji hanya milik Allah yang telah menghidupkan kami setelah sebelumnya mematikan kami, dan hanya kepada-Nya-lah kita kembali.”
(Doa bangun dari tidur).

Sebangunnya saya pagi tadi, tapak kaki dan tumit terasa amat sakit disertai dengan bisa-bisa seluruh badan. Entah kenapa ya? Mungkin kerana semalam kurang rehat, ditambah pula malam tadi saya terlelap sekejap di lantai tanpa beralaskan tilam sebelum encik suami mengejutkan saya supaya tidur di bilik.

Aduh, sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Terhincut-hincut saya berjalan. Namun, terpaksa digagahkan juga demi tanggungjawab pada keluarga. Kalau hendak diikutkan hati dan badan yang sakit ini, alangkah sedapnya kalau berbaring dan diurut. Memikirkan belum ada lauk untuk makan tengahari, saya tetap memaksa diri ke dapur.


Selesai bersarapan ala kadar, saya bergegas ke dapur manakala encik suami melayan Anis. Saya menyediakan menu ringkas sahaja hari ini, iaitu sup ayam bersama kentang, ikan selar kuning goreng garing, sambal belacan dan ulamnya sekadar mentimun sahaja. Alhamdulillah, selesai juga tanggungjawab pada suami dan anak.

Hari ini encik suami bertugas syif petang. Jadi kami sekeluarga makan tengahari awal sedikit. Selepas encik suami bertolak ke tempat kerja, saya mengemaskan apa yang patut. Selesai menunaikan tanggungjawab pada Pencipta Yang Hak, barulah saya dapat merehatkan badan. Target hari ini, saya hendak habiskan melipat kain yang sudah dua bakul tidak berlipat. Entahlah dapat selesaikan ke tidak. Mudah-mudahan selepas berehat sekejap badan saya akan cergas kembali untuk meneruskan rutin sebagai suri hari ini. In shaa Allah.

Hujan mula lebat di luar sana. Anis pun sudah terlena. Mama pun hendak sertai Anis sekejap lagi untuk merehatkan badan. Suasana sejuk begini memang sedap kalau dapat melelapkan mata.
Sampai berjumpa lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan