Rabu, 9 Oktober 2013

Ajaibnya Sentuhan Ibu dan Ayah Pada Anak


Alhamdulillah. Baru berkesempatan melayan dan bergurau dengan si kecil Anis. Dia pun sudah pandai mengambil peluang untuk bermanja dan bermain dengan mama dan papa.

Anis sudah dapat membezakan hari papa kerja dan hari mama bekerja. Kalau hari papa bekerja dia akan mengambil peluang bermanja setelah papa pulang dari tempat kerja. Selalunya dia akan membuat pelbagai aksi dan suka berguling-guling di pangkuan papa. Riuh rendah rumah dibuatnya.
Hari ni mama kerja pagi dan malam. Selepas mama bangun dari tidur petang tadi, dia terus datang memeluk
dan mencium. Seolah-olah teramat rindu dengan mama. Walhal, sepulangnya dari tempat kerja tadi, mama sudah pun melayan Anis makan dan bergurau senda.

Itulah dia permata hati saya, Anis Qistina. Sangat lincah dan tidak pandai duduk diam, tetapi sangat pandai mengambil perhatian dan bermanja. Tidak hairanlah Anis menjadi cucu yang paling rapat dengan atuk-atuknya berbanding cucu yang lain. Ada sahaja keletah dan gelagatnya yang mencuri perhatian dan menggamit memori mereka.

Kita selalu mendengar dan terbaca tentang kuasa sentuhan ibubapa terhadap perkembangan positif anak-anak. Saya sangat setuju dan selalu amalkan. Saya akan meluangkan masa untuk bermain, berbual, memeluk dan mencium Anis bila-bila sahaja yang saya sempat. Tidak kira lah tengah memasak ke, bersiap ke, lipat kain ke, pendek kata sentuhan dan ciuman tidak pernah lekang dari keluarga kami.

Apa yang saya perhatikan setakat usia Anis dua tahun lima bulan sekarang, dia sangat mudah bergaul dan sangat mudah mendapat kawan kalau ke mana-mana. Dia pandai membawa diri dan mudah mendengar kata. Walaupun dia agak hiper aktif, tetapi bila ditegur dia mudah mendengar dan patuh. Alhamdulillah. Pada fikiran saya, mungkin itu salah satu perkembangan positif yang saya sudah nampak pada Anis.

Seperti yang kita semua maklum, kanak-kanak yang membesar dalam suasana yang positif dan penuh kasih sayang akan lebih berkeyakinan dan bersikap positif. Mudah-mudahan puteri sulung saya ni akan membesar sebagai anak yang solehah hendak-Nya.Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan