Rabu, 16 Oktober 2013

Bila Nikmat Kesihatan di Tarik Seketika

Kasihan puteri mama. Demam pula dia, mama ingat Anis cuma terlalu penat selepas bermain habis-habisan dengan sepupu di kampung. Tak sangka pula boleh melarat hingga demam macam ni.Maha Suci Allah. Sungguh baik aturan-Nya. Mungkin juga inilah hikmahnya saya mengalami cirit-birit.

Pagi tadi saya terbangun kerana perut memulas-mulas. Berulang ke tandas entah berapa kali hingga ke petang. Malam tadi encik suami yang sakit perut, selepas encik suami ke tempat kerja sakitnya seolah-olah berpindah pada saya pula. Badan jadi letih lesu dek kerana terlalu banyak air yang keluar dari badan.

Menjelang tengahari, perut saya masih meragam hingga encik suami menyarankan supaya saya mengambil cuti sakit sahaja hari ini. Lagipun badan Anis juga sudah mula panas. Akhirnya saya terpaksa akur untuk mengambil cuti sakit. Saya gagahkan diri untuk memandikan Anis kerana suhu badannya semakin tinggi. Alhamdulillah, selepas bermain air suhu badannya turun sedikit.

Kami menunggu encik suami pulang untuk ke klinik. Sedang kami bersiap-siap hendak keluar, Anis muntah pula. Terpaksalah siapkan Anis sekali lagi. Sudah hampir petang baru selesai urusan ke klinik. Kesian papa dapat tidur sekejap sahaja sebelum pergi kerja malam ni.

Malam ni tinggallah mama dengan Anis di rumah. Papa berat hati hendak meninggalkan dua orang ratunya yang tidak sihat di rumah. Tapi mama yakinkan papa, in shaa Allah mudah-mudahan semua akan baik-baik sahaja. Semoga Anis cepat baik dari demam. Alhamdulillah, perut mama dah beransur baik. Mudah-mudahan mama dapat jadi jururawat terbaik untuk puteri mama malam ni. Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan