Rabu, 30 Oktober 2013

Kesabaran Diuji

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google

Astaghfirullahaladzim...
Aku memohon keampunan-Mu Ya Allah...


Assalamu'alaikum. Salam ceria buat semua. Saya baru sahaja tamat tugas syif malam. Sambil menunggu basuhan siap, saya mengambil sedikit masa untuk berceloteh di sini. Mata sudah berat meminta untuk direhatkan. Sabarlah wahai mata, sekejap sahaja lagi kita akan berehat.

Malam tadi saya ditugaskan di bahagian kawalan motor keluar di mana merupakan salah satu tempat bertugas yang dianggap paling kritikal bagi duty malam. Ini kerana, kami yang bertugas di bahagian tersebut akan menghadap ribuan orang awam yang berpusu-pusu hendak ke tempat kerja di Singapura. Waktu klimaks adalah antara pukul 4 hingga 8 pagi. 50 buah kaunter yang beroperasi sepenuhnya tidak dapat menampung bilangan pekerja-pekerja ini pada waktu tersebut. Kami yang bertugas di kaunter pula melakukan kerja dengan cukup pantas selagi terdaya.

Lebih kurang empat jam bertugas tanpa henti, ditambah pula keadaan mata yang mengantuk dan badan yang letih, sangat-sangat menguji ketahanan mental dan fizikal kami semua. Bayangkan dalam keadaan tertekan begitu kami seboleh-bolehnya bersabar dan terpaksa buat tidak kisah dengan sikap ribuan orang awam yang pelbagai. Mereka ini hanya tahu hendak cepat sampai ke destinasi mereka sahaja. Sedang kan masa yang diambil untuk memproses pasport mereka tidak sampai 10 saat setiap pasport.

Kebanyakan mereka ini bersikap kurang ajar dan langsung tidak tahu menghormati kami di kaunter.
Kebanyakannya menyerah dan merampas kembali pasport dengan kasar dari tangan kami seolah-olah menunjukkan sikap protes. Ditambah pula dengan keadaan pasport mereka yang sangat kotor dan busuk. Belum pun sepuluh minit bertugas, tangan kami sudah berhabuk seolah-olah disaluti serbuk simen dari pasport mereka. Tidak kurang juga pasport yang lembap dan berkulat. Bagi sesiapa yang tidak pernah nampak situasi ini memang tidak akan dapat menggambarkan bagaimana keadaan dan perasaan kami semua. Bimbang juga kalau dijangkiti penyakit berjangkit.

Nauzu billahi min zalik.
“Kami berlindung kepada Allah daripada perkara (perkara buruk) tersebut (daripada menimpa kami).”

Tidak kurang juga yang suka membunyikan hon walaupun berada di dalam bangunan keselamatan. Malah ada antaranya sanggup menggantikan hon motosikal mereka dengan hon yang setanding dengan bunyi hon lori. Bayangkanlah bagaimana bingit dan kecohnya keadaan waktu itu dengan bunyi deruman enjin motosikal yang sengaja di tekan kuat-kuat, ditambah lagi dengan bunyi hon yang bersahut-sahutan. Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan kami semua. Namun begitu masih ada juga segelintir dia antara mereka yang masih mempunyai adab sopan dan tahu menghormati kami di kaunter, tetapi bilangannya boleh dikira dengan jari sahaja daripada sejumlah ribuan orang itu.

Lebih lima tahun saya cuba bertahan dan cuba bersikap positif. Namun kesabaran sebagai seorang manusia ada hadnya juga. Mudah-mudahan permohonan saya untuk bertukar ke bahagian lain diluluskan dalam tempoh terdekat ini. Rasanya sudah tidak sanggup lagi mempertaruhkan emosi dan perasaan di tempat seperti ini. Saya benar-benar perlukan rehat dari semua ini.

Ya Allah, ampunilah hamba. Bukan tidak bersyukur, tetapi hamba perlukan ruang untuk merawat diri rohani dan jasmani. Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan