Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google
Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah... Allahu Akbar...
Bersyukur bukan kerana bahagia, tetapi bahagia akan hadir dengan sendirinya apabila kita pandai bersyukur. Rahsia paling utama untuk merasai bahagia ialah sentiasa melatih diri dan hati kita bersyukur. Bersyukur bukan hanya di saat menerima nikmat kesenangan sahaja, malahan bersyukurlah juga di saat ujian melanda. Kerana setiap ujian dan dugaan yang diberikan-Nya kepada kita akan disertai dengan hikmah di sebaliknya. Biasakanlah lidah kita menyebut Alhamdulillah pada setiap apa yang kita lalui seharian. Di samping melahirkan rasa kesyukuran pada Yang Esa, kita juga pasti mendapat pahala berzikir, in shaa Allah.
Alhamdulillah, hari ini merupakan hari off yang ceria buat saya. Sepanjang perjalanan pulang dari tempat kerja pagi tadi hati saya berbunga riang. Sambil memandu saya menikmati suasana pagi yang ceria dan indah ini dengan alunan zikir munajat di sepanjang jalan. Masya-Allah. Betapa tenangnya hati saya. Begitu hebat penangannya bila kita mensyukuri nikmat yang diberikan-Nya. Saya juga tidak tahu kenapa hati saya begitu senang hari ini.
Saya rasa mungkin kerana duty malam tadi saya bertugas di tempat yang selesa di mana tidak sesibuk tempat lain. Alhamdulillah, rezeki saya dan rakan setugas yang lain dapat merasa bertugas di bahagian pemeriksaan penumpang keretapi malam tadi. Kami hanya perlu memeriksa penumpang jika ada keretapi yang sampai mengikut jadualnya. Jadi, kami berpeluang berehat sementara menunggu keretapi yang seterusnya tiba. Tetapi peluang seperti ini hanya dapat kami rasai sebulan sekali sahaja. Itupun kalau Allah mengizinkan saya terpilih. Orang putih kata apa, "once in a blue moon" sesuai untuk menggambarkan bagaimana peluang ini begitu berharga buat kami yang terpilih.
Bermula syif ini juga Anis tidak lagi perlu mengikut saya ke tempat kerja kerana ada jiran kami yang baik hati sudi menjaga Anis sementara saya dan encik suami bertukar syif. Alhamdulillah, kurang sikit penat saya dan suami. Anis sungguh seronok kerana mendapat kawan baru iaitu anak kepada jiran kami itu. Kalau sudah ke rumah kawan, susahnya nak diajak balik ke rumah. Kasihan anak mama, dah lama tak ada kawan bermain. Lepas ni, dapatlah mama dengan papa melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja dengan hati yang tenang tanpa perlu kelam kabut dan risau memikirkan waktu pertukaran syif.
Pilihan untuk bahagia terletak di tangan kita sendiri. Jadi, buatlah pilihan yang terbaik untuk diri kita. Samada kita memilih untuk hidup bahagia atau sebaliknya. Apa yang penting, tunaikan tanggungjawab kita pada Yang Hak dan belajarlah untuk bersyukur dan menghargai apa yang dikurniakan pada kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan