Selasa, 29 Oktober 2013

Cabaran Suri Berkerjaya

Teks : Siti Nadzifah

Setiap wanita yang bergelar suri tidak kiralah suri rumah sepenuh masa atau suri berkerjaya, mestilah bijak menguruskan masa demi memastikan rumahtangga dan apa sahaja yang dilakukan sentiasa beres. Bezanya mungkin agak ketara antara pengurusan masa bagi suri rumah dan suri bekerja. Ada yang kata tugas suri rumah sepenuh masa lebih memenatkan dan tidak kurang juga yang mengatakan suri yang berkerjaya lebih mencabar. Kedua-duanya merupakan tugas yang memang mencabar dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Tugas seorang suri rumah sememangnya sentiasa bersusun menunggu untuk disiapkan setiap hari dari celik mata hinggalah melelapkan mata semula. Begitulah setiap hari. Begitu juga kisahnya bagi suri yang bekerja, lebih-lebih lagi jika semuanya diuruskan sendiri tanpa bantuan pembantu rumah. Penatnya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bayangkan sahaja,
kami yang bekerja ini juga melakukan tugas yang sama seperti para suri rumah lakukan setiap hari. Bezanya kami terpaksa berkejar menghantar anak-anak ke tempat jagaan atau ke sekolah, kemudian bergegas ke tempat kerja. Tugas menguruskan rumahtangga juga kami lakukan, tetapi terpaksa dikumpulkan pada hari cuti, bayangkanlah berapa banyak nak membasuh, menyidai dan melipat kain. itu belum termasuk tugasan di tempat kerja yang tidak kurang memenatkan. Lainlah jika mempunyai pembantu rumah dan satu bonus pula jika suami rajin membantu.


Jangan pula salah anggap terhadap kami yang bekerja kerana kebanyakan wanita yang bekerja adalah kerana ingin membantu suami menaggung keluarga bukan atas sebab suka-suka. Tidak dinafikan, ada segelintir wanita yang keluar bekerja atas kepentingan diri sendiri sehingga ada yang mengabaikan keluarga. Sepatutnya setiap wanita haruslah mendalami ilmu-ilmu yang berguna supaya mereka dapat menguruskan tanggungjawab mereka dengan lebih teratur. Jangan pula sampai mengabaikan tanggungjawab menguruskan rumahtangga dengan alasan penat bekerja. Tugas hakiki kita sebagai isteri adalah menguruskan keluarga dan rumahtangga.

Di hati kecil setiap wanita yang bergelar isteri dan ibu mesti tersimpan sekelumit rasa dan impian untuk menjaga dan membesarkan sendiri anak-anak tanpa perlu menghantar kepada penjaga. Tetapi disebabkan tuntutan tugas dan desakan hidup, ada antara kami yang terpaksa menghantar anak ke pengasuh untuk pergi bekerja bagi membantu suami. Bertuahlah kiranya anda ditakdirkan memiliki suami yang mampu menanggung keluarga seorang diri tanpa bantuan isteri. Hargailah kelebihan yang anda miliki, bersyukurlah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan