Isnin, 14 Oktober 2013

Isnin Hari Mulia vs Monday Blues

Teks : Siti Nadzifah Abd Rahad
Rujukan :  http://rossacalla.blogspot.com/2013/01/rahsia-dan-kelebihan-hari-isnin-dalam.html#axzz2hdH5Og12

Salam pagi Isnin yang indah buat semua.
Jangan ada yang Monday Blues ya. Sepatutnya kita sebagai umat Islam sangat ternanti-nanti akan hari yang sangat mulia ini. Ramai antara kita yang sudah terikut-ikut dengan budaya Monday blues yang diwar-warkan oleh pihak barat, kebetulan pula kerana hari Isnin merupakan permulaan hari bekerja dan bersekolah yang mana semua orang kurang gemari.


Banyak kelebihan hari Isnin yang mungkin kita tidak tahu ataupun mungkin terlupa,
salah satu daripadanya ialah Rasulullah s.a.w telah dilahirkan pada hari Isnin.

Terdapat hadith yang menceritakan perihal hari Isnin bermaksud :

Daripada Abu Qatadah Al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda: "Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepada ku."

 Keterangan Hadith:

1) Merayakan maulid rasul seumpama memuliakan Rasulullah s.a.w dan sesiapa yang meraikannya diberi pahala oleh Allah s.w.t.

2)  Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Haj ayat 32 bermaksud: "...dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan daripada sifat-sifat hati yang bertaqwa kepada Allah."

3) Berselawat ke atas Nabi s.a.w adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat 56 yang membawa maksud: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi s.a.w. Wahai orang beriman, hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya."

4) Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari Isnin kerana ia merupakan amalan yang selalu dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.

5) Rasulullah s.a.w juga menerima wahyu pertama pada hari Isnin. Bermula dari hari itu Rasulullah terus menerima wahyu sehingga sempurna Al-Quran untuk panduan kepada kehidupan kita dunia akhirat. Sebagai umat Islam kita diwajibkan membaca Al-Quran dan hidup berlandaskan isi kandungannya.

Peristiwa Hari Isnin ~ Hari Isnin adalah hari Pelayaran & Perniagaan. Kerana telah dijelaskan bahawa pada hari Isnin terdapat 7 peristiwa iaitu:

1. Nabi Idris, A.S. telah naik ke langit pada hari Isnin,
2. Nabi Musa, as. Telah pergi ke bukit Thursina pada hari Isnin untuk menerima wahyu,
3. Turunnya Dalil tentang ke-Esa-an Allah,
4. Lahirnya Rasulullah Muhammad saw,
5. Malaikat Jibril, as. turun untuk pertama kalinya bertemu Rasulullah,
6. Semua amal perbuatan Umat diperlihatkan kepada Rasaulullah saw pada hari Isnin,
7. Wafatnya baginda Rasulullah Muhammad S.A.W.

Oleh kerana itu, barang siapa yang berlayar atau ingin mengadakan perjalanan maka seeloknya lakukanlah pada hari Isnin. Selain itu, Ummat Islam juga digalakkan untuk melakukan puasa sunat pada hari Isnin.

Hadis Rasulullah tentang Kelebihan hari Isnin dalam Islam:

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda; “Dibentangkan amalan-amalan di hadapan Allah pada hari Isnin dan Khamis. Maka aku menyukai dibentang amalanku (di hadapan Allah) pada ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam Tirmizi).

Abi Qatadah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. ditanya tentang puasa hari Isnin. Baginda menjawab; “Itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi Nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Zikir Hari Isnin

لَاحَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِمِ

“La Haula Wala Quwwata Illa Billah”, maksudnya tiada daya dan kekuatan (untuk menolak sesuatu kemudaratan dan mendatangkan suatu yang manfaat) selain Allah SWT.

Fadhilat Zikir ini Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Siapa yang mengucapkan La Haula Wala Quwwata illa billahi, maka ia akan menjadi ubat kepada 99 penyakit. Yang paling ringan adalah kebimbangan”. (Hadis Riwayat Tabrani)

Jadi, mulai saat ini janganlah kita terjebak dengan isu Monday blues ya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan