Ahad, 20 Oktober 2013

Sihatkah Kedudukan Kewangan Kita?

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google
Sumber : http://www.akpk.org.my/my/pembelajaran/tip-dan-artikel/articletype/articleview/articleid/579/merancang-kedudukan-kewangan-sihat



Sihatkah kedudukan kewangan keluarga kita? Adakah anda merancang kewangan anda dan keluarga? Bagaimanakah kita boleh mengetahui kedudukan sebenar kewangan kita, samada sihat atau tidak?

Mari kita semak berdasarkan panduan ini:

1) Adakah kita hidup dengan bergantung kepada hutang pengguna?

 Hutang pengguna adalah pinjaman yang dibuat untuk sesuatu yang nilainya akan berkurangan selepas membelinya (liabiliti). Contohnya membeli kereta, perabot, peralatan rumah, barang elektrik, gajet dan sebagainya melalui hutang, ansuran mudah atau sewa beli. Masa kini terlalu ramai yang bergantung kepada hutang untuk menyara hidup sehingga tidak mampu mempunyai simpanan walau sedikit pun untuk kecemasan. Duit gaji hanya cukup-cukup untuk membayar hutang piutang bahkan ada yang mempunyai hutang melebihi pendapatan hingga terpaksa bergilir-gilir membayar hutang yang ada. Ditambah lagi dengan memiliki kad kredit di mana ada yang menanggung hutang tertunggak dari bulan ke bulan. Hutang kad kredit merupakan antara hutang yang mempunyai kadar interest yang paling tinggi. Jadi, jika tidak mampu untuk melangsaikan hutang kad kredit lebih baik anda berusaha untuk memberhentikan sahaja penggunaan kad kredit anda.


2) Adakah kita berupaya memiliki rumah bebas hutang sebelum bersara atau dengan kata lain, hutang rumah kita langsai sebelum kita bersara?


Pada zaman sekarang mungkin kedengaran agak mustahil untuk memiliki rumah tanpa berhutang. Tetapi hutang untuk membeli rumah termasuk dalam kategori hutang 'baik'. Kenapa? Kerana rumah boleh dijadikan aset di mana harga rumah akan semakin meningkat dari masa ke semasa. Lagi awal kita beli rumah lagi untung. Selain boleh dijadikan aset, rumah juga merupakan salah satu jalan untuk kita mendapatkan pendapatan pasif dengan cara menyewakan rumah.


3) Dapatkah kita menikmati persaraan yang terjamin dan dihormati?

Kajian menunjukkan kurang daripada 5 peratus individu yang mempunyai kebebasan kewangan semasa bersara. Sebahagian daripadanya akan mengalami keadaan kewangan yang mengecewakan. Oleh itu, menabunglah duit sebanyak yang  boleh ketika anda masih boleh manjana pendapatan. Seperti kata pepatah “Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian!”


4) Adakah kita mampu memberikan pelajaran yang menjamin masa depan kepada anak-anak?

 Pelaburan terbesar seorang ibu dan ayah adalah memberi pendidikan formal dan tidak formal yang sebaiknya buat anak-anak bagi menjamin masa depan mereka dan keluarga kita. Andai kata ada antara anak kita yang kurang menyerlah dalam pelajaran, hantarkan pula mereka mempelajari ilmu kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka. Pada zaman serba maju ini, ilmu pengetahuan beserta kemahiran merupakan aset yang amat penting dan berbaloi. Anak-anak juga perlu dilatih dalam membuat keputusan menentukan hala tuju hidup mereka. Jangan abaikan pendidikan kewangan kerana ia merupakan penentu gaya hidup kita semua.


5) Keupayaan untuk membayar secara tunai barangan runcit.

Sebaiknya kita berbelanja secara tunai sahaja ketika membeli barangan runcit dan keperluan rumah. Bagi seseorang yang mempunyai kewangan yang baik, membayar secara tunai untuk barangan yang diperlukan adalah pilihan yang terbaik. Anda mungkin membayar barangan runcit dan barangan keperluan dengan kad kredit, tetapi pastikan anda membayar penuh pada setiap bulan. Jikalau tidak, kadar faedah ke atas tunggakan baki kad kredit anda akan meningkatkan jumlah perbelanjaan anda dan akan memberi kerugian pada perbelanjaan anda.


6) Mampukah kita bertahan di saat kecemasan?

Berapa lama kita mampu bertahan jika tiba-tiba kehilangan punca pendapatan? Keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh mempunyai persedian sekurang-kurangnya enam bulan perbelanjaan mereka daripada “dana kecemasan”. Kehilangan pekerjaan, dibuang kerja atau diturunkan taraf kerja adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Ia tidak sepatutnya menggugat kehidupan anda. Sesebuah keluarga mungkin boleh ditimpa kemalangan, mala petaka semula jadi atau krisis kewangan yang teruk. Keluarga yang mempunyai keadaan kewangan yang sihat boleh mengharungi cabaran ini dengan tenagng.

7) Adakah kita mampu untuk menikmati hidup sepenuhnya?

Semua orang suka menikmati hidup dan memberikan kegembiraan buat keluarga tersayang. Mampukah kita membawa keluarga bercuti, melancong dan memenuhi kehendak yang tersayang? Kehidupan akan terus berlalu sama ada anda mempunyai perancangan ataupun tidak. Oleh itu, anda perlu berhati-hati menjalani kehidupan pada masa ini dan bersikap beringat-ingat untuk menjalani kehidupan yang akan datang. Orang yang mempunyai kedudukan kewangan yang sihat dapat mengimbangi pengalaman peluang masa kini sambil membuat persiapan untuk masa akan datang. Sesetengah orang berpendapat bahawa semua keluarga harus pergi bercuti setiap tahun. Percutian, rekreasi dan masa rehat adalah bergantung kepada kedudukan kewangan yang sihat.


Jadi, berdasarkan beberapa situasi di atas, adakah kita berada dalam kalangan yang mempunyai status kewangan yang sihat? Tepuk dada tanya kocek anda. Semoga bermanfaat. (^_^)

Anda boleh mencuba aplikasi di sini untuk menguji kesihatan kewangan anda;

Aplikasi Bajet AKPK

Tiada ulasan:

Catat Ulasan