Khamis, 17 Oktober 2013

Kalaulah Aku Tidak Bekerja...

Mataku terlalu berat dek kerana kesan ubat yang kutelan tadi barangkali. Si kecil Anis pula baru mula hendak bermain. Badan sudah terasa sihat sedikit agaknya selepas makan ubat dan terlena sekejap tadi. Bangun sahaja terus mengadu lapar dan minta disuapkan makan. Aku menjeling jam di dinding, pukul satu setengah pagi anak mama ajak bermain dan makan.


Memikirkan si kecil mama belum menjamah makanan dari siang tadi, digagahkan juga diri untuk bangun dan menyuapkannya makan walaupun badan terasa sangat lemah. Kepala pening berpusing-pusing seperti hendak pitam. Tak mengapalah, selagi mampu bertahan, mama sanggup semata-mata mahu melihat Anis makan. Baru sedikit sahaja masuk ke mulut, sudah tak mahu makan. Aku memujuk pula Anis makan biskut dan minum milo. Nasib baik nak juga dia makan walaupun terlalu sedikit. Tak apa lah, sekurang-kurangnya Anis makan juga.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Kesayangan mama masih belum mahu tidur. Aduh sayang, esok mama kerja pagi. Kepala mama terasa berat sangat. Semalam mama sudah ambil cuti sakit, kalau boleh esok mama tak mahu ambil cuti kecemasan pula. Saat seperti inilah perasaan ingin berhenti kerja dan berada di rumah di samping anak-anak membuak-buak.

Kalaulah aku tidak bekerja, semestinya perhatianku untuk anak-anak dapat ditumpukan seratus peratus. Di saat kecemasan seperti ini aku tidak perlu risau akan waktu kerja dan tidak perlu memikirkan tentang bagaimana mahu mengambil cuti demi menjaga anak yang sakit. Ya, aku bebas mengatur waktu yang sesuai untuk menjaga anak-anak, rumahtangga dan waktu rehat untuk diriku. Betapa tenangnya hidupku andainya semua itu menjadi nyata.

Tiba-tiba kedengaran bunyi alunan muzik yang cukup kukenali, rupanya bunyi jam loceng dari telefonku. Sudah pukul lima pagi. Entah bila mataku terlelap tidak kusedari. Si kecil Anis terlena berbantalkan lenganku. Kesian anak mama, tertidur sendiri dia. Biasanya bila kebosanan kerana tiada sesiapa yang melayannya bermain barulah dia tidur. Pandai pula mengambil tangan mama dijadikan bantal.

Kurasakan badannya terlalu panas. Aku segera mengambil bacaan suhu badannya, lebih 39°celcius. Aku segara mengambil air untuk dilapkan ke badannya. Dia menangis, sejuk katanya. Aku cuba memujuk kerana bimbang suhunya terlalu tinggi. Aku tukarkan lampin dan cool fever yang dipakainya, membasahkan kepala dan meletakkan kain basah di pelipat-pelipat badan. Suhunya cuma turun sedikit. Tidak berani hendak meninggalkannya walau sekejap untuk bersiap ke tempat kerja. Bimbang takut anak mama terkena sawan.
 

Jam sudah melewati enam pagi. Sudah lewat untuk aku bersiap ke tempat kerja. Aku menghubungi suami yang ketika itu bertugas syif malam. Mendengarkan keadaan Anis yang masih demam teruk suami memintaku menghubungi bos untuk memohon kebenaran masuk lewat sedikit sementara menunggu dia sampai ke rumah. Aku akur dan menghubungi bos, alhamdulillah beliau memahami situasi kami dan membenarkan.

Kalau diikutkan hati, aku sudah tidak boleh fokus untuk memandu dan bekerja. Tapi demi tugas dan tanggungjawab terpaksa ku berserah dan bertawakkal. Dengan berat hati terpaksa meninggalkan Anis bersama papanya. Hatiku masih risau kerana suami baru habis tugas malam yang tentunya sangat mengantuk dan letih. Tetapi alhamdulillah, sepulangnya aku ke rumah, badan Anis sudah beransur sejuk.

Jauh dalam sudut hatiku masih lagi terngiang-ngiang, kalaulah aku tidak bekerja...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan