Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google
Salam subuh buat semua.
Encik suami baru sahaja bertolak ke tempat kerja. Disebabkan saya mengalami sakit kepala yang agak teruk malam tadi, encik suami terpaksa menumpang kawan memandangkan bas jabatan masih lagi tidak beroperasi. Biasanya saya akan menghantar encik suami kalau ketiadaan bas tetapi untuk kerja syif pagi sahaja.
Petang semalam saya sudah mula rasa kurang sihat. Selepas encik suami pergi kerja, kepala saya mula berdenyut-denyut. Namun saya gagahkan juga untuk mengemas dapur dan melayan Anis makan. Selepas solat asar, saya sudah tidak dapat berbuat apa-apa. Saya cuba berbaring dan melelapkan mata sekejap setelah menelan ubat.
Namun, begitu susah hendak melelapkan mata. Mata juga sudah mula rasa berdenyut. Anis kehairanan melihat saya. Dia datang bertanya, mama kenapa. Bila diberitahu mama sakit kepala, dia pun memicit kepala saya dengan tangan kecilnya. Walaupun tidak dapat mengurangkan rasa sakit, tapi rasa kasih sayang seorang anak kecil begitu menyentuh hati saya. Saya berdoa dalam hati, "Ya Allah, mudah-mudahan kasih sayang anakku ini berkekalan sampai bila-bila. Aamiin."
Sakit kepala ini berlarutan hingga ke malam.
Kesian encik suami. Balik dari kerja kena melayan orang sakit pula. Rasa lega sedikit selepas encik suami tolong picitkan kepala dan makan ubat. Entah bila saya tertidur. Sedar-sedar encik suami dan Anis sudahpun tidur. Kesian mereka, mama tidak dapat melayan papa dan Anis pun malam tadi.
Alhamdulillah. Bangun pagi ini kepala sudah agak ringan. Tetapi saya belum berani hendak mengadap komputer. Bimbang kalau sakit kepala datang lagi. Harapnya sakit kepala tidak menyerang lagi kerana hari ini saya bertugas syif petang.
Mudah-mudahan saya dapat menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya hari ini. In shaa Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan