Teks : Siti Nadzifah
Imej : Siti Nadzifah
Salam hujung minggu semua.
Masak apa hari ni? Saya hanya sempat masakkan kari ayam campur daging dan kacang panjang sahaja sebagai menu cinta untuk cinta hati saya hari ni. Seperti biasa kalau hari kerja petang seperti ini saya mesti siapkan sekurang-kurangnya satu hidangan cinta untuk ditinggalkan buat encik suami.
Apa yang penting bagi saya, sepulangnya buah hati saya dari kerja, dia boleh menikmati juadah dari air tangan saya walaupun saya tiada di rumah untuk melayannya makan. Begitulah rutin saya. Walaupun saya tidak berpeluang untuk memasak setiap hari kerana tuntutan waktu kerja, saya tetap akan cuba untuk menyediakan hidangan ringkas untuk keluarga.
Orang tua-tua selalu berpesan pada kaum suri supaya pikat dan tawan hati suami dengan masakan kita sendiri. Bagi saya pesanan ini banyak kebenarannya. Masakan si isteri tidak semestinya sedap setanding chef. Apa yang penting di sini ialah kesediaan si isteri menyediakan hidangan kepada keluarga dengan penuh kasih sayang dan cinta. Seorang suami yang penyayang dan mencintai isterinya tentunya sangat menghargai usaha isterinya memasak untuk dirinya.
Saya tidak bermaksud mengatakan bahawa isteri yang tidak memasak untuk suami itu tidak disayangi suaminya. Bergantung pada si suami itu juga. Ramai di kalangan suami-suami zaman sekarang ini tidak kisah sangat tentang itu semua. Namun begitu, jauh di sudut hatinya mesti ada sekelumit rasa teringin menikmati hasil air tangan isterinya. Cuba tanyakan suami anda, apa yang dia nak anda masakkan istimewa untuknya. Pasti dia teruja meminta itu dan ini dari anda.
Apa yang saya cuba sampaikan ialah, bila seseorang suami sudah terbiasa dengan masakan isterinya, hatinya akan lebih terikat dan cintanya lebih kuat terhadap si isteri. Tentunya si suami tidak betah untuk berpisah lama dengan isterinya. Inilah salah satu petua kebahagiaan rumahtangga yang sangat popular dan diperakui keberkesanannya hingga kini. Kami juga selalu memasak bersama-sama bila ada kesempatan pada hari tidak bekerja.
Antara aktiviti lain yang kami suka lakukan bersama-sama ialah seperti melipat kain, mengemas rumah, menyidai kain malah saya juga selalu mengikut encik suami ke tempat servis kereta untuk menemaninya disitu. Saya rasa aktiviti sebegini merupakan salah satu cara untuk menambahkan kasih sayang dan rasa tanggungjwab dalam hidup berkeluarga.
Pada pandangan peribadi saya. Seorang isteri itu tidak semestinya pandai memasak. Mungkin mereka berpendapat bahawa masakan mereka tidak sedap, lebih sedap jika beli di kedai. Kalau tidak dibiasakan memasak, sampai bila pun takkan sedap. Sebagai permulaan, biarlah tidak sedap tetapi rajin mencuba dan terima kritikan dengan hati terbuka dengan niat akan perbaiki lagi. In shaa Allah lama-kelamaan kemahiran itu akan datang dengan sendirinya. Bak kata orang putih, "practise make perfect". Di sini, para suami juga perlu memainkan peranan untuk memberi semangat pada si isteri yang berusaha untuk membahagiakan anda.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk kita semua ke arah rumahtangga bahagia. In shaa Allah. Barulah dapat mewujudkan suasana "baiti jannati" kan.
Sampai berjumpa lagi. (^_^)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan