Selasa, 5 November 2013

Hari Penuh Aktiviti

Salam ceria buat semua

Mencuri sedikit waktu rehat untuk berceloteh di sini. Alhamdulillah, kerja hari ni tidak terlalu memenatkan memandangkan tidak ramai pelawat seperti selalu. Biasanya waktu seperti ini merupakan antara waktu sibuk di tempat kami. Bolehlah kami berehat sedikit setelah menempuh syif yang amat sibuk pada syif lepas sempena cuti umum Deepavali.

Namun begitu, hari off semalam merupakan hari sibuk buat saya. Bermula selepas bersarapan dengan encik suami, saya memulakan tugas suri. Kebetulan pula dua orang adik saya berkunjung ke rumah sempena cuti semester.

Sambil memasak, curi-curi masa menggosok uniform encik suami. Selesai memasak serba ringkas untuk santapan tengahari, saya bergegas bersiap pula. Ada urusan yang perlu diselesaikan segera di pejabat KWSP. Selesai sahaja menjamu selera beramai-ramai, saya dan encik suami pergi ke pejabat KWSP. Anis kami tinggalkan di rumah bersama makcik dan pakciknya.

Sepanjang perjalanan ke sana, pelbagai persoalan bermain di fikiran saya.
Kami tidak banyak berbual seperti biasa. Saya dihantui perasaan bimbang kalau-kalau pejabat tutup waktu makan tengahari, bimbang juga kalau tidak sempat siap sebelum waktu kerja encik suami. Saya juga risau kalau-kalau urusan pengembalian caruman saya ini sudah tidak boleh diproses lagi. Maklumlah, sudah hampir dua tahun. Baru sekarang hendak buat. Inilah jadinya kalau asyik bertangguh. Hehe. Salah sendiri juga kan.

Apa pun saya hanya bertawakkal dan berserah pada Yang Esa. Kalau masih ada rezeki kami, dapatlah. Kalau bukan rezeki kami, nak buat macam mana. Redha sahajalah kan. Sesampainya kami ke pejabat KWSP itu, alhamdulillah, rupanya pejabat ini dibuka juga waktu makan tengahari. Tidak lama kami menunggu. Akhirnya siap juga diproses dan syukur pada Allah kerana masih ada rezeki kami. Waktu kerja encik suami pun lama lagi. Awal daripada biasa pula encik suami ke pejabat.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah Ya Allah. Rasa seperti batu besar yang terhenyak di bahu saya di angkat serta-merta. Begitu lega dan bersyukur rasanya. Selepas menghantar encik suami ke pejabat, saya memandu pulang dengan hati senang. Sesampai di rumah, berehat sebentar sambil melayan Anis. Tiba-tiba hujan pula turun dengan lebatnya. Alhamdulillah, hujan rahmat dari Allah. Anis pun dah terlena, sedapnya dia tidur di kala cuaca sejuk begini.

Dalam hati saya berdoa agar hujan sekejap sahaja kerana saya mahu membawa Anis beriadhah di Hutan Bandar. Seketika kemudian hujan berhenti tetapi Anis masih lagi tidur. Saya terpaksa ubah rancangan, kami akan keluar selepas solat Asar. Sementara menunggu waktu Asar, saya ke dapur melihat apa yang ada untuk dijadikan bekalan.

Akhirnya sempat juga saya siapkan bekalan ringkas untuk minum petang di sana nanti. Saya membuat sosej roll Tepung Magik. Masa yang di ambil lebih kurang 15 minit sahaja untuk menyiapkan hidangan ini. Sekejap sahaja. Nak tengok resepinya di sini ya.


Selesai menunaikan solat asar, Anis pun sudah bangun dan disiapkan oleh makciknya. Kami pun keluar untuk ambil angin. Cuaca masih mendung tetapi saya tetap juga mahu membawa Anis ke hutan bandar. Sesampainya kami di sana, terasa juga hujan masih rintik-rintik. Saya yakinkan hati, mungkin hujan sudah nak berhenti ni, mana tahu kan. Redah je lah.

Kami terus menuju ke tempat permainan kegemaran Anis. Kasihan anak mama. Permainan di situ basah. Nasib baik dia faham dan mengikut sahaja bila diajak ke kolam ikan. Belum pun sempat kami meninggalkan kawasan permainan itu, hujan mula turun lagi. Mujur kami membawa payung bersama. Lucu juga bila sekaki payung dikongsi berempat. Janji dapat elakkan kepala dari terkena hujan.

Kami mencari tempat berteduh sementara hujan berhenti. Kami bernasib baik ada tempat duduk di tepi kolam. Kami duduk di situ sambil makan bekalan. Untung ada bawa bekalan, tidaklah kami kebosanan di situ. Hukan sekejap sahaja, sempat juga kami memberi makan ikan dan kura-kura di kolam. Hampir pukul tujuh malam, kami meninggalkan hutan bandar dan mencari surau untuk solat maghrib sebelum ke destinasi seterusnya.

Sementara menunggu encik suami tamat tugas, kami jalan-jalan dalam City Square Johor Bahru dan JB Sentral. Kebetulan adik hendak mencari kasut. Saya meletakkan kereta di parking tempat kerja kerana City Square dan JB Sentral bersambung terus dengan bangunan tempat kerja saya. Lagipun percuma. Dapat jimat duit bayar parking.

Lebih kurang pukul 10 suku encik suami menelefon memberitahu sedang ke tempat parking. Kami pun segera ke sana dan bertolak pulang ke rumah. Belum sampai separuh jalan Anis dah tertidur. Kepenatan dia hari ini. Sudah lama mama dan papa tak bawa Anis jalan-jalan dari siang hingga malam.

Sesampai di rumah, masing-masing sudah kepenatan. Sementara menunggu encik suami makan, saya pula terlelap. Tahu-tahu je encik suami kejut masuk bilik. Penatnya badan saya. Baru sahaja bersiap-siap hendak tidur, si kecil Anis pula bangun. Akhirnya mama terpaksa temankan Anis di ruang tamu. Entah pukul berapa mama tertidur pun tak tahulah. Sedar-sedar Anis kejutkan mama sambil meminta susu.

Rupanya sudah pukul lima pagi anak mama belum tidur. Anis, Anis. Selepas minum susu barulah dia tidur. Papa pula dah bangun dan bersiap nak pegi kerja. Kasihan papa, mama tak larat nak buka mata. Tahu-tahu je papa kejut mama beritahu dah nak pergi keje.

Begitu padat sekali jadual saya semalam. Tetapi semua kepenatan itu hilang bila melihat orang di sekeliling kita gembira. Cuma agak terkilan kerana encik suami tidak dapat bersama kami kerana terpaksa bertugas.

Resepi Sosej Roll Tepung Magik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan