Selasa, 15 Oktober 2013

Salam Aidil Adha 2013

Salam Aidil Adha buat sahabat sekalian.


Alhamdulillah, mungkin ramai antara kita yang melakukan ibadah korban tahun ini. Semua dah merasa daging korban? Saya belum ada rezeki untuk merasa daging korban hari ini. In shaa Allah jika diizinkan Allah
dan ada rezeki saya sekeluarga dapatlah merasa juga bila-bila nanti.

Di petang Aidil Adha ini saya hanya berdua dengan Anis di rumah. Encik suami bertugas syif petang, masuk pukul dua petang tadi. Kami hanya sempat menyambut kemeriahan aidil adha pagi tadi sahaja. Tak sempat menolong di tempat penyembelihan pun, saya pula sekadar menolong mak menyiapkan juadah hari raya pada malam sebelumnya sahaja. Tak mengapalah, itu pun saya sudah teramat bersyukur kerana berkesempatan bersama keluarga di malam dan pagi hari raya. Jika tidak, sudah tentu saya terpaksa melayan pelawat-pelawat yang ingin berziarah di hari raya di tempat kerja.

Sesampainya kami di kampung semalam, kami dikejutkan dengan berita yang adik ipar saya yang bongsu terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang dari tempatnya belajar di Puncak Alam. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana adik tidak mengalami apa-apa kecederaan tetapid masih dalam keadaan terkejut sehingga menyebabkannya demam. Mengikut ceritanya, keretanya terbabas secara tiba-tiba dan dia gagal berbuat apa-apa mungkin kerana panik sehingga menyebabkan kereta terperosok ke dalam parit.

Saya merasa agak bimbang melihat keadaannya yang murung dan tidak mahu makan. Mak pula asyik mengadu akan kerisauan hatinya melihatkan keadaan adik. Untuk menenangkan mak, saya cuba berbincang dengan encik suami untuk membawa adik pergi melakukan x-ray untuk memastikan keadaannya betul-betul sihat. Bimbang juga kalau ada kecederaan dalaman yang tidak kita ketahui. Tetapi adik menolak dengan mengatakan dirinya tidak apa-apa. Alhamdulillah, malam tadi adik mula makan dengan banyak, mungkin demamnya sudah kebah.

Walau apa pun, saya mendoakan agar semuanya baik-baik belaka. Semoga kita semua sentiasa dalam perlindungan Yang Esa dan dijauhkan dari sebarang malapetaka dan kesedihan. Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan