Khamis, 10 Oktober 2013

Orang Kaunter

Ada yang tidak faham apa yang saya maksudkan dengan tajuk di atas? Itulah kerja saya. Saya bertugas sebagai pegawai di kaunter. Bertindak sebagai "frontliner" di sempadan negara. Pendek kata, setiap pelawat yang akan masuk atau keluar negara akan berjumpa dengan saya dan rakan-rakan sejawat dahulu.

Nampak macam senang sahaja kerja kami. Duduk di kaunter menunggu pelawat tiba untuk pemeriksaan. Ya, dari pandangan mata kasar memang nampak mudah dan nampak macam tak ada kerja. Tetapi,
tahukah anda apa yang kami terpaksa hadapi setiap hari walaupun hanya duduk di kaunter?

Purata bilangan pelawat yang kami jumpa setiap hari lebih kurang 500 hingga 1000 orang sehari bagi setiap pegawai. Kalau sebulan agak-agak dah berapa puluh ribu orang yang kami hadapi. Bayangkan bagaimana kami terpaksa berdepan dengan pelbagai kerenah dan sikap mereka semua. Dalam sepuluh orang pun kadang-kadang kita dah pening nak uruskan, inikan pula beribu orang. Tugas ini memang memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi.

Mungkin satu jam pertama masuk kerja kami masih boleh berkhidmat dengan senyuman. Tetapi bila ada seorang sahaja yang membawa aura negatif, kami memerlukan masa untuk kembali tersenyum. Kami juga hanyalah manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Kami juga bukan robot yang bekerja tanpa rehat. Kami memerlukan aura positif dari pelawat untuk terus kekal positif. Pihak atasan pula sentiasa memberi arahan dan tekanan yang kadangkala tidak masuk dek akal. Nak buat macamana, kami yang menurut perintah.

Itu dari segi rohani. Dari segi fizikal pula, badan saya kadang-kadang tidak mampu menahan kepenatan dan kesakitan akibat duduk dan bekerja terlalu lama dalam satu-satu masa tanpa dapat bergerak untuk meregangkan badan. Biasanya ketika keadaan yang sesak dengan pelawat dan juga waktu puncak. Sehinggakan ada ketika kami terpaksa menahan berjam- jam untuk ke tandas. Tidak hairanlah ramai antara kami yang sudah terkena penyakit batu karang.

Kebanyakan pelawat yang merupakan pelawat harian yang berulang alik pergi bekerja di negara seberang ini, langsung tidak pandai untuk bersabar walau sedikit pun. Sentiasa hendak cepat dan kelam kabut. Tambahan pula, sejak ada sistem yang membolehkan warganegara seberang keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu cop pasport, tambah memburukkan lagi keadaan.

Kebanjiran warganegara asing di Malaysia amnya dan di Johor khususnya teramat membimbangkan. Saya kategorikan mereka ini sebagai pendatang dengan izin. Mereka ini masuk dan menetap di Malaysia dengan pas lawatan sosial dan berulang alik ke seberang tambak setiap hari untuk bekerja dan menghantar anak-anak mereka bersekolah. Malah ada antara mereka sudah membeli rumah di sini. Maka, bukan sesuatu yang pelik mengapa sempadan selatan tanah air kita sentiasa sesak dengan pelbagai kenderaan darat tidak kira masa dan ketika.

Begitulah sedikit sebanyak perkongsian pengalaman dan perasaan dari saya sebagai seorang petugas kaunter. Budi bahasa budaya kita, tetapi sekarang semuanya kian terhakis dan makin hilang ditelan peredaran masa dan gaya hidup. Semoga kita semua dan anak-anak generasi baru tetap terpelihara dari semua perkara negatif seperti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan