Isnin, 21 Oktober 2013

Ibuku Sayang

Kasih sayang ibu dan ayah membawa ke syurga
Tarikh keramat hari ini kerana ia merupakan tarikh ulangtahun kelahiran umi saya. Selamat hari lahir buat umi tersayang. Hanya mampu kirimkan khabar dan ucapan melalui telefon sebagai penghubung bicara. Tahun ini genaplah usia umi 57 tahun, Along sentiasa mendoakan kesejahteraan umi dan abah di sana. Semoga Umi dan Abah sentiasa sihat dan sentiasa dalam rahmat Yang Esa. Aamiin.

Bersempena hari kelahiran umi saya, saya ingin mengajak anda semua bermuhasabah sekejap bersama saya. Mari kita senaraikan sebanyak  mungkin pengorbanan ibu kita bermula dari terbentuknya kita di dalam rahim beliau. Kenapa saya nak buat ini semua? Sebenarnya, kita sebagai anak kadang-kadang terlupa. Kita sering terlupa akan pengorbanan yang telah ibu dan ayah kita lakukan untuk kita. Kita terlupa bagaimana hendak membalas dan menghargai pengorbanan mereka. Kita terlupa kita adalah anak mereka yang bertanggungjawab menjaga hati dan perasaan mereka.

Ya, manusia mudah lupa. Kadang-kadang kita sebagai anak akan timbul juga rasa tidak puas hati terhadap orang tua kita. Ada masanya kita rasakan seolah-olah ibubapa kita tidak mengerti perasaan kita, tidak faham kehendak kita. Biasanya perasaan seperti sering hadir di kalangan anak-anak remaja yang baru belajar erti kehidupan.

Saya mengatakan sedemikian kerana saya sendiri pernah melalui fasa tersebut. Saya selalu merasakan yang ibubapa terlalu mengongkong kehidupan saya. Buat itu tak boleh, buat ini tak boleh. Semuanya dipantau dengan begitu rapi sekali oleh ibubapa. Mahu ke mana-mana abah akan hantarkan, tidak boleh pergi sendiri atau bersama teman. Mesti kenalkan kawan-kawan baru kepada mereka.

Kadang-kadang kita membuat kerja rumah dengan rela hati. Tetapi ada sahaja yang tidak kena
di mata ibu. Sudah tolong tapi tetap kena leter. Bila selalu begitu, kita mula bosan dan malas mahu menolong. Biasanya terjadi di kalangan anak-anak yang ibunya bekerja macam saya. Kenapa begitu? Kerana mereka sudah letih dan mereka juga mungkin mengalami tekanan di tempat kerja.

Tetapi, pernahkah kita terfikir. Apakah perasaan ibubapa kita melihat perangai kita. Apakah pengorbanan yang kita pernah buat untuk mereka? Pernahkah kita ingat bahawa ibubapa kita sanggup memerah keringat bagi memastikan keperluan dan keinginan anak-anak dipenuhi. Tahukah kita betapa letih dan penatnya mereka membanting tulang bagi menyekolahkan kita? Tahukah kita mereka sanggup menahan lapar asalkan perut anak-anak kenyang. Mereka rela memberikan makanan mereka kepada anak yang meminta. Mereka berjaga semalaman saat kita sakit.

Apa yang kita sudah lakukan sebagai balasan untuk semua itu? Sebagai anak, janganlah kita terlalu mengambil hati. Maafkanlah ibu dan ayah kita. Mereka juga manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesalahan. Cuba memahami situasi mereka dan cubalah untuk menghiburkan hati mereka dengan melakukan perkara yang mereka senangi.

Wahai insan yang bergelar anak, ya, kita semua merupakan anak kepada ibubapa kita. Tanpa mereka tiadalah kita di muka bumi ini. Apalah sangat pengorbanan kita kalau setakat membantu ibu membuat kerja rumah. Apalah sangat pengorbanan kita bila ibu meminta berbuat sesuatu untuknya. Ingatlah, apa sahaja yang kita buat untuk ibu kita, tetap tidak akan dapat membalas pengorbanan dan kasih sayangnya. Pengorbanan ibu yang pertama untuk kita, iaitu di saat kita mula terbentuk dalam kandungan ibu. Betapa ibu mengalami kesakitan dan kepayahan mengandungkan kita selama sembilan bulan. Ditambah lagi kesakitan di saat melahirkan melahirkan kita. Ibu bersabung nyawa untuk melahirkan kita ke dunia. Selepas kita dilahirkan bermacam-macam lagi pengorbanan yang mereka lakukan. Tapi pernahkah mereka menyalahkan anak-anak atas semua kesakitan itu? Tidak! Sekalipun tidak!

Fikirkanlah. Selagi kamu belum menjadi ibu dan bapa, selagi itu kamu tidak akan memahami perasaan dan pengorbanan mereka.
Sekarang saya sudah melepasi fasa itu semua kerana saya sekarang sudah berada di fasa sebagai ibu dan isteri. Saya mula menghargai setiap apa yang pernah saya benci suatu ketika dulu. Baru saya faham kenapa mereka berbuat begitu pada saya dahulu. Baru sekarang saya berterima kasih atas leteran ibu yang saban hari menyakitkan telinga saya.

 Terima kasih umi dan abah atas didikan yang diberikan sehingga saya pula yang akan mengaplikasikan segala ajaran itu pada cucumu pula. Mungkin cabaran pada saya lebih menguji selari dengan peredaran masa dan arus kemodenan sekarang. Bayangkan anak kecil saya berusia dua tahun sudah pandai membuka video di youtube.

Aduhai anakku, mama begitu bimbang dengan duniamu sekarang. Mama sentiasa mendoakan agar anak-anak mama dijauhkan dari perkara yang tidak elok dan semoga Allah pelihara jalan kehidupan anak-anak mama. Semoga mama dan papa diberi kekuatan dan ketabahan dalam mendidikmu wahai anakku. Aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan