Memaparkan catatan dengan label Catatan Pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Pengalaman. Papar semua catatan

Ahad, 29 Disember 2013

Berat Hati Ke Tempat Kerja

Teks : Siti Nadzifah

Kerja syif malam lagi. Semakin hari semakin berat hati ini nak meninggalkan rumah untuk pergi kerja syif malam. Rasa sayu sangat bila Anis meminta mama jangan pergi kerja.

" Mama yayah je," katanya sambil menarik uniform saya merayu agar mamanya tinggal di rumah bersamanya dan papa.

Hati ibu mana yang tidak tersentuh bila anak sekecil itu merayu sebegitu. Kadang-kadang dia sengaja buat perangai seolah-olah mencari jalan agar mama tidak jadi pergi kerja. Nak mandi dengan mama, nak makan dengan mama, nak mama buatkan susu dan macam-macam lagi akalnya.

Hai anak, janganlah seksa jiwa mama ni sayang. Mama bekerja untuk masa depan Anis juga. In shaa Allah, jika diizinkan Allah suatu hari nanti mama akan tinggal di rumah sepenuhnya bersama Anis dan keluarga kita sayang. Mama sedang berusaha mempersiapkan diri ke arah itu.

Jumaat, 1 November 2013

Deepavali Di Hujung Minggu

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google

Alhamdulillah. Sedapnya bila dapat berbaring merehatkan badan yang letih. Nikmatnya tidak dapat digambarkan. Saya baru sahaja balik dari kerja petang. Masuk petang tadi hinggalah tamat tugas pukul 10 malam tadi.

Saya bertugas di bahagian penumpang bas hari ini. Dari mula masuk kaunter pukul 2.45 petang (hari Jumaat kami mula syif petang lewat sedikit) hinggalah balik tadi pelawat tidak putus-putus. Bermula pukul 8 malam barisan di setiap kaunter sudah tidak nampak hujungnya.

Pada setiap hujung minggu, begitulah meriahnya tempat pemeriksaan kami dipenuhi dengan pelbagai ragam manusia dari seluruh pelosok dunia. Macam-macam bangsa ada. Kadang-kadang boleh terjumpa pelawat dengan pasport yang nama negaranya pun saya tidak pernah dengar. Masih cetek lagi pengetahuan ni rupanya.

Esok pula hari cuti umum sempena perayaan deepavali, saya bertugas syif pagi dan malam. Biasanya setiap tahun, inilah waktu kemuncak kesesakan di setiap bahagian pemeriksaan di tempat kami. Biasanya dari masuk kerja pagi hingga ke petang, lepas tu sambung lagi syif malam. Memang makan jammed tak habis-habis.

Saya masih ingat lagi,

Rabu, 30 Oktober 2013

Kesabaran Diuji

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Google

Astaghfirullahaladzim...
Aku memohon keampunan-Mu Ya Allah...


Assalamu'alaikum. Salam ceria buat semua. Saya baru sahaja tamat tugas syif malam. Sambil menunggu basuhan siap, saya mengambil sedikit masa untuk berceloteh di sini. Mata sudah berat meminta untuk direhatkan. Sabarlah wahai mata, sekejap sahaja lagi kita akan berehat.

Malam tadi saya ditugaskan di bahagian kawalan motor keluar di mana merupakan salah satu tempat bertugas yang dianggap paling kritikal bagi duty malam. Ini kerana, kami yang bertugas di bahagian tersebut akan menghadap ribuan orang awam yang berpusu-pusu hendak ke tempat kerja di Singapura. Waktu klimaks adalah antara pukul 4 hingga 8 pagi. 50 buah kaunter yang beroperasi sepenuhnya tidak dapat menampung bilangan pekerja-pekerja ini pada waktu tersebut. Kami yang bertugas di kaunter pula melakukan kerja dengan cukup pantas selagi terdaya.

Lebih kurang empat jam bertugas tanpa henti, ditambah pula keadaan mata yang mengantuk dan badan yang letih, sangat-sangat menguji ketahanan mental dan fizikal kami semua. Bayangkan dalam keadaan tertekan begitu kami seboleh-bolehnya bersabar dan terpaksa buat tidak kisah dengan sikap ribuan orang awam yang pelbagai. Mereka ini hanya tahu hendak cepat sampai ke destinasi mereka sahaja. Sedang kan masa yang diambil untuk memproses pasport mereka tidak sampai 10 saat setiap pasport.

Kebanyakan mereka ini bersikap kurang ajar dan langsung tidak tahu menghormati kami di kaunter.

Khamis, 17 Oktober 2013

Kalaulah Aku Tidak Bekerja...

Mataku terlalu berat dek kerana kesan ubat yang kutelan tadi barangkali. Si kecil Anis pula baru mula hendak bermain. Badan sudah terasa sihat sedikit agaknya selepas makan ubat dan terlena sekejap tadi. Bangun sahaja terus mengadu lapar dan minta disuapkan makan. Aku menjeling jam di dinding, pukul satu setengah pagi anak mama ajak bermain dan makan.


Memikirkan si kecil mama belum menjamah makanan dari siang tadi, digagahkan juga diri untuk bangun dan menyuapkannya makan walaupun badan terasa sangat lemah. Kepala pening berpusing-pusing seperti hendak pitam. Tak mengapalah, selagi mampu bertahan, mama sanggup semata-mata mahu melihat Anis makan. Baru sedikit sahaja masuk ke mulut, sudah tak mahu makan. Aku memujuk pula Anis makan biskut dan minum milo. Nasib baik nak juga dia makan walaupun terlalu sedikit. Tak apa lah, sekurang-kurangnya Anis makan juga.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 3 pagi. Kesayangan mama masih belum mahu tidur. Aduh sayang, esok mama kerja pagi. Kepala mama terasa berat sangat. Semalam mama sudah ambil cuti sakit, kalau boleh esok mama tak mahu ambil cuti kecemasan pula. Saat seperti inilah perasaan ingin berhenti kerja dan berada di rumah di samping anak-anak membuak-buak.

Kalaulah aku tidak bekerja, semestinya perhatianku untuk anak-anak dapat ditumpukan seratus peratus. Di saat kecemasan seperti ini aku tidak perlu risau akan waktu kerja dan tidak perlu memikirkan tentang bagaimana mahu mengambil cuti demi menjaga anak yang sakit. Ya, aku bebas mengatur waktu yang sesuai untuk menjaga anak-anak, rumahtangga dan waktu rehat untuk diriku. Betapa tenangnya hidupku andainya semua itu menjadi nyata.

Tiba-tiba kedengaran bunyi alunan muzik yang cukup kukenali, rupanya bunyi jam loceng dari telefonku. Sudah pukul lima pagi. Entah bila mataku terlelap tidak kusedari. Si kecil Anis terlena berbantalkan lenganku. Kesian anak mama, tertidur sendiri dia. Biasanya bila kebosanan kerana tiada sesiapa yang melayannya bermain barulah dia tidur. Pandai pula mengambil tangan mama dijadikan bantal.

Kurasakan badannya terlalu panas. Aku segera mengambil bacaan suhu badannya, lebih 39°celcius. Aku segara mengambil air untuk dilapkan ke badannya. Dia menangis, sejuk katanya. Aku cuba memujuk kerana bimbang suhunya terlalu tinggi. Aku tukarkan lampin dan cool fever yang dipakainya, membasahkan kepala dan meletakkan kain basah di pelipat-pelipat badan. Suhunya cuma turun sedikit. Tidak berani hendak meninggalkannya walau sekejap untuk bersiap ke tempat kerja. Bimbang takut anak mama terkena sawan.

Khamis, 10 Oktober 2013

Orang Kaunter

Ada yang tidak faham apa yang saya maksudkan dengan tajuk di atas? Itulah kerja saya. Saya bertugas sebagai pegawai di kaunter. Bertindak sebagai "frontliner" di sempadan negara. Pendek kata, setiap pelawat yang akan masuk atau keluar negara akan berjumpa dengan saya dan rakan-rakan sejawat dahulu.

Nampak macam senang sahaja kerja kami. Duduk di kaunter menunggu pelawat tiba untuk pemeriksaan. Ya, dari pandangan mata kasar memang nampak mudah dan nampak macam tak ada kerja. Tetapi,