Kenali Penulis

Tentang Penulis

Salam ukhwah buat semua.

Di sini ingin saya kongsikan catatan peribadi saya sekeluarga iaitu gambar-gambar dan pengalaman-pengalaman menarik yang menjadi kenangan buat diri saya. Saya juga suka untuk berkongsi pengalaman-pengalaman yang pernah dilalui dan juga perkongsian dari hasil pembacaan saya. Terima kasih kepada yang sudi singgah di ruangan ini.

Pertama sekali saya ingin memperkenalkan insan-insan yang teristimewa dalam hidup saya iaitu Encik suami dan juga puteri kecil kami, Anis Qistina yang manja dengan panggilan Anis sahaja.

Kami menetap di Johor Bahru ni sejak tahun 2008. Di sini jugalah kami bertemu jodoh. Teringat pula zaman bercinta dulu, tapi sekarang kami dah pun bertiga. Saya berasal dari pantai timur, manakala Encik suami pula dari selatan tanah air.

Saya baru sahaja berjinak-jinak dengan dunia blogger ni. Orang kata,baru nak bertatih la. Dah lama saya cuba untuk menulis blog ni,tapi tidak berkesempatan memandangkan saya bekerja dan terpaksa membahagikan masa antara kerja dan keluarga.

Saya dan suami bertugas sebagai salah seorang "front liner" di sempadan selatan negara. Buat masa sekarang, tempat saya bertugas merupakan salah satu tempat yang paling sibuk dan digeruni oleh mana-mana rakan setugas yang bertugas di tempat lain. Pendek kata, tidak ada yang akan menyerah diri untuk ditukarkan ke tempat saya bertugas sekarang. Ini kerana, tahap kesibukan dan tekanan kerja yang amat tinggi terpaksa kami tempuhi di sini. Faktor ini juga yang membuatkan saya terfikir untuk berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa.

Saya mula mencari maklumat tentang kerja sambilan yang boleh dilakukan hanya dari rumah sehinggalah saya menemui maklumat tentang seorang penulis yang juga merupakan seorang Work At Home Mom (WAHM), Puan Masayu Ahmad. Dari situ saya mula mengikuti setiap perkembangan beliau memlalui blog http://naufalsayang.blogspot.com/  dan membaca buku beliau yang bertajuk Jana RM Dari Rumah. Secara jujurnya saya mula menjadi peminat tulisan beliau dan menyimpan cita-cita untuk menjadi penulis seperti beliau suatu hari nanti.

Dari zaman bujang hinggalah anak berusia setahun lebih kami bekerja mengikut syif yang sama sehinggalah pada suatu hari suami kepada pengasuh anak kami dapat bertukar ke cawangan lain. Kebetulan pula anak kami diserang demam panas dan memerlukan penjagaan sepenuhnya dari saya sebagai ibu. Dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat mencari pengasuh yang baru dan keadaan kesihatan anak, saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan. Dalam tempoh bercuti itu saya telah memohon untuk bertukar ke syif yang berselisih dengan suami supaya kami dapat bergilir-gilir menjaga anak kami tanpa khidmat pengasuh. Kami terpaksa berkorban hari "off" bersama untuk tujuan ini.


Hati berbelah bahagi

Setelah merasai pengalaman menjadi suri rumah sepenuh masa selama dua bulan dan dapat  menguruskan rumahtangga sepenuhnya, saya menanam tekad di hati untuk meletak jawatan suatu hari nanti. Tetapi saya risau dan tidak yakin kerana saya tidak mempunyai apa-apa pengalaman lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan pendapatan sampingan sekiranya berhenti kerja kelak.

Saya amat meminati bidang perniagaan dan menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya di masa akan datang. Saya juga amat meminati bidang penulisan dan masakan. Sejak dari zaman persekolahan saya suka mengarang cerpen dan sajak, tetapi setelah bertahun-tahun tidak mengasah bakat semuanya sudah berkarat. Saya juga sangat suka memasak dan mencuba resepi baru. Kepuasan yang saya dapat bila ada yang meminati masakan saya, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata terutamanya peminat nombor satu pula adalah suami dan keluarga sendiri. Ibu mertua pula asyik menyuruh saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan dalam bidang masakan. Pada mulanya saya tidak menyenangi saranan beliau, tetapi sekarang ia menjadi pembakar semangat dan dorongan yang menambahkan keyakinan saya untuk mencuba nasib dalam bidang masakan pula.

Nampaknya masih jauh lagi perjalanan saya untuk mencapai cita-cita menjadi WAHM ni. Saya perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam bidang yang saya pilih sebelum dapat menjadi pakar dalam bidang tersebut. Ini adalah langkah pertama yang saya pilih iaitu menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan di bawah naungan Puan Masayu Ahmad dengan harapan agar bakat penulisan yang ada dalam diri saya dapat dicungkil dan diserlahkan semula.

Harapan saya yang paling besar adalah untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa memenuhi kewajipan terhadap Yang Hak, menjadi isteri dan ibu yang sentiasa ada untuk suami dan anak-anak. Saya juga sentiasa berdoa agar dilapangkan masa dan dimurahkan rezeki untuk berbakti kepada ibubapa dan keluarga.

Segala apa yang bakal saya kongsikan di sini nanti diharap dapat menjadi perkongsian yang berguna dan bermanfaat untuk kita semua. In Shaa Allah.


Saya mengalu-alukan jika ada yang sudi berkongsi ilmu dan apa-apa sahaja maklumat dengan saya di sini. Masih banyak yang perlu saya pelajari. Setakat ni dulu sebagai memperkenalkan diri saya. Sampai berjumpa lagi, in shaa Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan