Jumaat, 27 September 2013
Harga Minyak Naik Lagi?
Saya terbaca keratan akhbar berkenaan isu kenaikan harga minyak yang dikongsikan oleh kenalan di facebook. Antara alasan yang diberi berikutan kenaikan harga minyak ini adalah untuk mengurangkan penyeludupan minyak ke negara-negara jiran. Saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dari pemerhatian saya sepanjang bertugas di sempadan Johor - Singapura setelah lebih lima tahun berdepan dengan pelbagai ragam dan jenis pelawat di sini.
Isu yang biasa di ketengahkan adalah tentang penyeludupan minyak sahaja. Sedangkan apa yang berlaku di sini sebenarnya bukanlah penyeludupan tetapi "kecurian" subsidi minyak rakyat yang dilakukan oleh jiran-jiran kita dari seberang tambak. Kenapa saya kata bukan penyeludupan? Sebabnya adalah, mereka sekadar mengisi minyak ke kenderaan sendiri sahaja bukannya menyeludup bertong-tong. Kerana itulah juga perkara ini terlepas pandang agaknya, sebab tidak terlalu menonjol.
Cuba anda bayangkan, mereka sanggup meredah jem dan mengecop pasport hanya untuk masuk selama sepuluh minit sahaja bagi mengisi minyak semata-mata. Kalau satu hari beribu kenderaan yang masuk memenuhkan tangki masing-masing, bayangkan betapa banyaknya subsidi kerajaan kita yang di"curi" keluar. Kalau kenaikan setakat beberapa puluh sen, tetap tidak dapat mengurangkan aktiviti mereka kerana nilai wang mereka masih jauh lebih tinggi berbanding nilai wang kita.
Pada pandangan saya, pendekatan menaikkan harga minyak atas alasan ini memang tidak munasabah dan hanya menambahkan beban kepada rakyat kita sendiri. Coretan saya ini hanyalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi sahaja. Saya tidak berniat menyinggung malah menyakitkan hati sesiapa. Sekadar perkongsian ikhlas dari hati.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Alhamdulillah..nasib baik tak jadi naik lagi..
BalasPadam