Salam hujung minggu buat semua.
Mungkin ada antara kita yang sedang bersiap-siap untuk membawa anak-anak berkelah atau jalan-jalan hari ni. Mungkin juga ada yang merancang untuk pulang ke kampung menjenguk orang tua masing-masing atau hanya memilih untuk bersantai sahaja di rumah dengan keluarga tersayang sambil bergotong royong mengemas rumah.
Saya pula baru sahaja tamat tugas syif malam. Sambil memanaskan enjin kereta sempat juga update blog untuk hari ini. Biasanya sesampai sahaja di rumah, tugas sebagai seorang suri pula sudah tersusun menunggu untuk diuruskan. Begitulah rutin saya sebagai seorang suri yang bekerja. Kenalah belajar untuk menjadi seorang yang "multitasking".
Jadual kerja saya cukup senang nak ingat, dua hari kerja dua hari "off". Mesti ada antara anda yang berkata, "Wah, seronoknya kerja dua hari cuti dua hari." Secara mata kasarnya, ya, memang seronok sebab ada dua hari "off". Tetapi jika diteliti jadualnya, waktu kerja saya amat padat. Dua hari "off" yang ada pula betul-betul saya gunakan untuk berehat, menguruskan rumahtangga, menjenguk orang tua di kampung, berbelanja dan menguruskan bil-bil serta urusan rasmi yang lain.
Syif saya bermula dengan kerja petang iaitu masuk pukul 2 petang hingga pukul 10 malam. Keesokan paginya pula masuk lagi pukul 7 pagi hingga pukul 2 petang. Berehat sekejap, kemudian pukul 10 malam masuk lagi hingga pukul 7 pagi. Kemudian barulah bermulanya hari "off" iaitu bermula habis tugas pukul 7 pagi seperti hari ini dan esok "off" lagi satu hari. Lusa bermula lagi syif yang seterusnya dan begitulah rutin kehidupan saya selagi bertugas di sini.
Bercerita tentang syif malam, saya amat tidak suka bekerja syif malam. Setiap kali hendak keluar bertugas, si kecil saya selalu memeluk kaki saya sambil berkata,
"Mama yayah je la..."
Hati ibu mana tidak sayu mendengar rayuan si kecil yang baru berusia dua tahun memujuk mama nya untuk tinggal di rumah bersama keluarga. Jiwa saya meronta-ronta untuk berhenti kerja. Namun, memikirkan masa depan keluarga dan anak-anak, saya perlu merancang sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan.
In Shaa Allah, semoga dengan izin-Nya suatu hari nanti saya dapat berada di rumah sepenuh masa bersama keluarga dan anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan