Isnin, 30 September 2013

Rutin Hari Bekerja

Penat. Itulah sahaja perkataan yang dapat saya luahkan. Saya bertugas syif petang hari ni, masuk pukul dua petang tadi. Pukul 11 malam barulah sampai ke rumah. Esok masuk syif pagi pula. Bermakna saya akan bertolak ke tempat kerja seawal jam enam pagi kerana syif bermula pukul tujuh pagi hingga dua petang. Hari ini duty agak memenatkan, boleh dikatakan antara tempat duty yang paling mencabar bagi kami semua. Menyambut kepulangan anak watan yang bekerja di seberang tambak di laluan motosikal masuk.

 Sememangnya dari masuk pukul dua petang tadi hinggalah habis duty pukul 10 malam, tangan saya tidak berhenti dari mengambil, scan, cop dan memulangkan semula pasport kecuali waktu rehat sahaja. Selama lapan jam

Ahad, 29 September 2013

Saya Budak Baru Belajar

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Bisnes atau perniagaan merupakan satu bidang yang amat saya minati. Lebih-lebih lagi bila mengingati hadith yang menyebut bahawa sembilan per sepuluh rezeki datangnya dari perniagaan. Saya pernah cuba menjual macam-macam. Dari produk makanan, pakaian, perfumes, beg hinggalah produk katalog seperti Avon dan Cosway.

Semuanya saya cuba jual, lebih-lebih lagi kalau jumpa barang yang boleh diborong dengan harga yang jauh lebih murah. Masalah yang selalu saya hadapi adalah masalah marketing. Skop jualan saya hanya terhad di kalangan ahli keluarga dan rakan sahaja. Saya tak tahu dan malu untuk membuat promosi. Tetapi disebabkan minat yang mendalam dan sikap ingin mencuba, saya tidak kisah sangat tentang untung rugi. Yang penting bagi saya adalah pengalaman dan ilmu. Makin banyak saya mencuba, makin banyak pengalaman dan ilmu yang saya dapat. Alhamdulillah, untung sikit-sikit tu ada lah.

Saya suka mencari maklumat tentang produk-produk yang ada potensi. Akhirnya, beberapa hari lepas saya telah mendaftar sebagai stokis bagi produk Tepung Magik. Saya hanya tawakkal sahaja masa tu. Berbekalkan sokongan dari suami tercinta saya membuat pembayaran untuk menjadi stokis Tepung Magik bagi kawasan tempat tinggal saya sekarang iaitu Tampoi dan kawasan sekitarnya. Sekarang saya tengah menunggu barang  tersebut sampai ke rumah. In Shaa Allah, mudah-mudahan dengan izin Allah dapatlah saya memulakan bisnes saya dengan produk ini.

Mohon sokongan dari sahabat sekalian. Kalau ada yang berminat nak jadi ejen pun boleh hubungi saya ya.


Hari Off - Hari Suri

Hari ini secara tidak rasminya saya menjawat jawatan surirumah sepenuh masa, tapi untuk hari ni sahaja lah. Dan juga pada hari-hari "off" yang lain. Selepas mengambil sarapan pagi, bermulalah rutin sebagai surirumah untuk hari ini. Seperti biasa, hari ini saya akan memasak untuk makan tengahari keluarga. Encik suami bertugas petang hari ni, jadi hidangan mesti disiapkan seawal yang boleh. Menu hari ni ringkas sahaja, sayur bayam masak lemak, ikan rebus goreng dan sardin.

Sambil memasak sambil melayan si kecil Anis yang sudah bangun. Tahu-tahu sahaja sudah tercegat di belakang mama minta dimandikan. Selesai memasak saya mandikan Anis sambil memasukkan toto ke dalam mesin basuh. Setelah Encik suami bertolak ke pejabat dapatlah saya uruskan diri dan menunaikan tanggungjawab pada Yang Hak.

Berharap agar hari ini cerah hingga ke petang hendak-Nya, risau juga kalau toto yang di jemur tidak sempat kering. Maklumlah, tinggal di rumah bertingkat ni selalu bermasalah kalau nak mengeringkan pakaian terutamanya basuhan yang besar dan tebal. Aktiviti melipat pakaian terpaksa ditangguhkan sebab ada pembantu tidak rasmi yang suka tolong mama melipat kain baju. Terpaksalah tunggu Anis tidur dulu baru mama boleh lipat kain. Sebab tu lah dah dua bakul penuh kain tak berlipat.

Sementara dapat berehat ni lah saya ambil kesempatan menulis catatan harian untuk hari ini. Itu pun sambil berebut handphone dengan Anis. Semua dia nak concure, tv nak tengok cerita kartun dia, handphone mama pun nak buka kartun dia. Silap-silap mama yang tertidur ni. Hehe.

Bermula Tugas Suri - Multitasking Mom

Alhamdulillah syukur atas segala nikmat dan kesempatan yang diberikan Nya. Bertemankan segelas milo panas, dapat juga saya mengadap komputer pagi ni.

Sesampai sahaja ke rumah dan menukar pakaian, saya menyidai pakaian yang saya cuci sebelum pergi kerja malam tadi. Encik suami tak perasan saya membasuh agaknya, biasanya dia rajin menolong saya menyidai baju. Selesai menyidai, satu basuhan baru pula di masukkan ke dalam mesin basuh. Sambil menunggu basuhan siap,

Sabtu, 28 September 2013

Duty Malam

Salam hujung minggu buat semua.

Mungkin ada antara kita yang sedang bersiap-siap untuk membawa anak-anak berkelah atau jalan-jalan hari ni. Mungkin juga ada yang merancang untuk pulang ke kampung menjenguk orang tua masing-masing atau hanya memilih untuk bersantai sahaja di rumah dengan keluarga tersayang sambil bergotong royong mengemas rumah.

Saya pula baru sahaja tamat tugas syif malam. Sambil memanaskan enjin kereta sempat juga update blog untuk hari ini. Biasanya sesampai sahaja di rumah, tugas sebagai seorang suri pula sudah tersusun menunggu  untuk diuruskan. Begitulah rutin saya sebagai seorang suri yang bekerja. Kenalah belajar untuk menjadi seorang yang "multitasking".

Jadual kerja saya cukup senang nak ingat, dua hari kerja dua hari "off". Mesti ada antara anda yang berkata, "Wah, seronoknya kerja dua hari cuti dua hari." Secara mata kasarnya, ya, memang seronok sebab ada dua hari "off". Tetapi jika diteliti jadualnya, waktu kerja saya amat padat. Dua hari "off" yang ada pula betul-betul saya gunakan untuk berehat, menguruskan rumahtangga, menjenguk orang tua di kampung, berbelanja dan menguruskan bil-bil serta urusan rasmi yang lain.

Syif saya bermula dengan kerja petang iaitu masuk pukul 2 petang hingga pukul 10 malam. Keesokan paginya pula masuk lagi pukul 7 pagi hingga pukul  2 petang. Berehat sekejap, kemudian pukul 10 malam masuk lagi hingga pukul 7 pagi. Kemudian barulah bermulanya hari "off" iaitu bermula habis tugas pukul 7 pagi seperti hari ini dan esok "off" lagi satu hari. Lusa bermula lagi syif yang seterusnya dan begitulah rutin kehidupan saya selagi bertugas di sini.

Bercerita tentang syif malam, saya amat tidak suka bekerja syif malam. Setiap kali hendak keluar bertugas, si kecil saya selalu memeluk kaki saya sambil berkata,
"Mama yayah je la..."
Hati ibu mana tidak sayu mendengar rayuan si kecil yang baru berusia dua tahun memujuk mama nya untuk tinggal di rumah bersama keluarga. Jiwa saya meronta-ronta untuk berhenti kerja. Namun, memikirkan masa depan keluarga dan anak-anak, saya perlu merancang sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan.

In Shaa Allah, semoga dengan izin-Nya suatu hari nanti saya dapat berada di rumah sepenuh masa bersama keluarga dan anak-anak.

Jumaat, 27 September 2013

Harga Minyak Naik Lagi?


Saya terbaca keratan akhbar berkenaan isu kenaikan harga minyak yang dikongsikan oleh kenalan di facebook. Antara alasan yang diberi berikutan kenaikan harga minyak ini adalah untuk mengurangkan penyeludupan minyak ke negara-negara jiran. Saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dari pemerhatian saya sepanjang bertugas di sempadan Johor - Singapura setelah lebih lima tahun berdepan dengan pelbagai ragam dan jenis pelawat di sini.

Isu yang biasa di ketengahkan adalah tentang penyeludupan minyak sahaja. Sedangkan apa yang berlaku di sini sebenarnya bukanlah penyeludupan tetapi "kecurian" subsidi minyak rakyat yang dilakukan oleh jiran-jiran kita dari seberang tambak. Kenapa saya kata bukan penyeludupan? Sebabnya adalah, mereka sekadar mengisi minyak ke kenderaan sendiri sahaja bukannya menyeludup bertong-tong. Kerana itulah juga perkara ini terlepas pandang agaknya, sebab tidak terlalu menonjol.

 Cuba anda bayangkan, mereka sanggup meredah jem dan mengecop pasport hanya untuk masuk selama sepuluh minit sahaja bagi mengisi minyak semata-mata. Kalau satu hari beribu kenderaan yang masuk memenuhkan tangki masing-masing, bayangkan betapa banyaknya subsidi kerajaan kita yang di"curi" keluar. Kalau kenaikan setakat beberapa puluh sen, tetap tidak dapat mengurangkan aktiviti mereka kerana nilai wang mereka masih jauh lebih tinggi berbanding nilai wang kita.

Pada pandangan saya, pendekatan menaikkan harga minyak atas alasan ini memang tidak munasabah dan hanya menambahkan beban kepada rakyat kita sendiri. Coretan saya ini hanyalah sekadar pandangan dan pendapat peribadi sahaja. Saya tidak berniat menyinggung malah menyakitkan hati sesiapa. Sekadar perkongsian ikhlas dari hati.

Khamis, 26 September 2013

Pengenalan

Assalamu'alaikum.
Salam ukhwah buat semua.

Berasal dari sebuah keluarga yang sederhana. Dinamakan sebagai Siti Nadzifah Abd Rahad, dilahirkan pada bulan Februari tahun 1985. Dari detik itulah bermulanya pengembaraan saya sebagai hamba-Nya yang lemah. Dilahirkan, dibesarkan dan menerima pendidikan di sebuah pekan kecil di sebuah negeri yang terkenal dengan jolokan Serambi Mekah. Melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di sebuah universiti tempatan di Bumi Kenyalang.

Akhirnya, ditakdirkan menjawat jawatan sebagai seorang penjawat awam yang kemudiannya bertemu jodoh dan menetap di selatan tanah air bersama suami tercinta dan seorang puteri.Saya bertugas sebagai salah seorang "front liner" di sempadan selatan negara. Buat masa sekarang, tempat saya bertugas merupakan salah satu tempat yang paling sibuk dan digeruni oleh mana-mana rakan setugas yang bertugas di tempat lain. Pendek kata, tidak ada yang akan menyerah diri untuk ditukarkan ke tempat saya bertugas sekarang. Ini kerana, tahap kesibukan dan tekanan kerja yang amat tinggi terpaksa kami tempuhi di sini. Faktor ini juga yang membuatkan saya terfikir untuk berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuh masa.

Saya mula mencari maklumat tentang kerja sambilan yang boleh dilakukan hanya dari rumah sehinggalah saya menemui maklumat tentang seorang penulis yang juga merupakan seorang Work At Home Mom (WAHM), Puan Masayu Ahmad. Dari situ saya mula mengikuti setiap perkembangan beliau memlalui blog http://naufalsayang.blogspot.com/  dan membaca buku beliau yang bertajuk Jana RM Dari Rumah. Secara jujurnya saya mula menjadi peminat tulisan beliau dan menyimpan cita-cita untuk menjadi penulis seperti beliau suatu hari nanti.

Saya dan suami menjawat jawatan yang sama dan bertugas di tempat yang sama. Dari zaman bujang hinggalah anak berusia setahun lebih kami bekerja mengikut syif yang sama sehinggalah pada suatu hari suami kepada pengasuh anak kami dapat bertukar ke cawangan lain. Kebetulan pula anak kami diserang demam panas dan memerlukan penjagaan sepenuhnya dari saya sebagai ibu. Dalam keadaan tertekan kerana tidak dapat mencari pengasuh yang baru dan keadaan kesihatan anak, saya mengambil keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama dua bulan. Dalam tempoh bercuti itu saya telah memohon untuk bertukar ke syif yang berselisih dengan suami supaya kami dapat bergilir-gilir menjaga anak kami tanpa khidmat pengasuh. Kami terpaksa berkorban hari "off" bersama untuk tujuan ini.

Google Image

Setelah merasai pengalaman menjadi suri rumah sepenuh masa selama dua bulan dan dapat  menguruskan rumahtangga sepenuhnya, saya menanam tekad di hati untuk meletak jawatan suatu hari nanti. Tetapi saya risau dan tidak yakin kerana saya tidak mempunyai apa-apa pengalaman lain yang boleh digunakan untuk mendapatkan pendapatan sampingan sekiranya berhenti kerja kelak.

Saya amat meminati bidang perniagaan dan menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya di masa akan datang. Saya juga amat meminati bidang penulisan dan masakan. Sejak dari zaman persekolahan saya suka mengarang cerpen dan sajak, tetapi setelah bertahun-tahun tidak mengasah bakat semuanya sudah berkarat. Saya juga sangat suka memasak dan mencuba resepi baru. Kepuasan yang saya dapat bila ada yang meminati masakan saya, tidak dapat digambarkan dengan kata-kata terutamanya peminat nombor satu pula adalah suami dan keluarga sendiri. Ibu mertua pula asyik menyuruh saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan dalam bidang masakan. Pada mulanya saya tidak menyenangi saranan beliau, tetapi sekarang ia menjadi pembakar semangat dan dorongan yang menambahkan keyakinan saya untuk mencuba nasib dalam bidang masakan pula.

Buat masa sekarang saya belum ada apa-apa kepakaran yang betul-betul pakar lagi. Saya hanya pandai membuat kek terutamanya kek coklat, puding, tart,beberapa jenis kuih raya yang senang dan kiuh-muih yang biasa-biasa sahaja. Antara menu saya yang dianggap istimewa oleh ahli keluarga pula seperti nasi ayam penyet, mi celop, nasi kerabu kuning, tomyam dan yang selalu menjadi permintaan adalah sup tulang. Dah jadi kegemaran keluarga mertua pula. Selain memasak, saya sangat suka mengemas dan mengubah susun atur perabot dalam rumah. Saya juga suka menjahit, seni kreatif, membaca buku-buku tentang motivasi dan pengurusan kewangan, psikologi rumahtangga dan makan angin.

Nampaknya masih jauh lagi perjalanan saya untuk mencapai cita-cita menjadi WAHM ni. Saya perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam bidang yang saya pilih sebelum dapat menjadi pakar dalam bidang tersebut. Ini adalah langkah pertama yang saya pilih iaitu menyertai Kelas Asas Blog dan Penulisan di bawah naungan Puan Masayu Ahmad dengan harapan agar bakat penulisan yang ada dalam diri saya dapat dicungkil dan diserlahkan semula.

Harapan saya yang paling besar adalah untuk menjadi seorang hamba yang sentiasa memenuhi kewajipan terhadap Yang Hak, menjadi isteri dan ibu yang sentiasa ada untuk suami dan anak-anak. Saya juga sentiasa berdoa agar dilapangkan masa dan dimurahkan rezeki untuk berbakti kepada ibubapa dan keluarga.

Segala apa yang bakal saya kongsikan di sini nanti diharap dapat menjadi perkongsian yang berguna dan bermanfaat untuk kita semua. In Shaa Allah.

Mendaftar ke Kelas Asas Blog dan Penulisan

Teks : Siti Nadzifah
Imej : Akademi Bekerja Dari Rumah

Setelah berbulan-bulan hanya menjadi pembaca dan pemerhati senyap kepada Alumni penulis dari rumah, akhirnya hari ini saya dengan rasminya mendaftar dengan Puan Masayu Ahmad.
Sudah lama saya memendam keinginan untuk menyertai team ini dan mendapatkan bimbingan daripada beliau. Tetapi disebabkan asyik memikirkan kekangan masa dan kebimbangan kalau-kalau tidak dapat mengikuti kelas sepenuhnya, saya tangguhkan dulu niat itu.

Setelah membaca testimoni dari anak didik beliau dan guru-guru yang lain, saya dapati bukan saya seorang sahaja yang mengalami dilema tersebut. Rupanya ramai yang mempunyai masalah kekangan masa seperti saya. Jadi, saya mencabar diri untuk meneruskan niat ini. Kalau orang lain boleh buat, saya pun mesti boleh buat. In Shaa Allah.