Esok dah mula kerja? Seperti tidak percaya dan mahu diundurkan semula masa ke beberapa hari ke belakang. Hari ini hari terakhir saya bercuti. Malam tadi baru sampai ke rumah. Badan masih kepenatan lagi. Pakaian kotor pun belum habis dicuci.
Ah, malasnya nak ke tempat kerja dan menempuh rutin hari-hari bekerja yang amat mencabar kesabaran dan ketahanan diri. Niat di hati mahu mengemas rumah serba sedikit hari ini. Nampaknya saya lebih selesa merehatkan badan sementara ada masa bermalas-malasan sebelum kembali bekerja.
Alangkah seronoknya jika saya tidak perlu pergi bekerja. Tidak sabar menunggu saat bergelar suri rumah yang entah bila akan tiba. Mungkin hanya menjadi mimpi indah buat saya. Sungguh, saya cukup cemburu dengan wanita-wanita yang bergelar suri rumah.
Anda semua sangat bertuah kerana dapat menumpukan sepenuhnya masa untuk suami, anak-anak dan rumah. Tentunya anda punya masa untuk diri sendiri bila segala tugasan rumahtangga dapat diselesaikan tanpa perlu bertangguh seperti saya. Saya selalu perhatikan golongan suri rumah selalu punya masa untuk duduk berbual dengan jiran tetangga. Tidak seperti saya yang sentiasa dikejar dengan pelbagai tugasan.
Saya selalu bayangkan jika suatu masa nanti saya bergelar suri rumah. Tentunya saya akan seronok melakukan kerja rumah tanpa perlu kelam kabut bersiap dan bergegas ke tempat kerja. Betapa seronoknya saya bila dapat memasak untuk keluarga setiap hari. Menikmati kepuasan bila rumah sentiasa kemas tersusun. Bahagianya saya bila dapat meluangkan masa mengajar anak membaca dan menulis. Saya juga selalu mengidamkan saat menyambut kepulangan encik suami dari tempat kerja, bersalaman dengan kuih-muih hasil air tangan sendiri sedia terhidang. Bila malam, dapat pula bersantai bersama keluarga bergurau senda dan bertukar cerita.
Begitulah angan-angan jika saya seorang suri rumah. Walaupun saya seorang wanita yang bekerjaya, saya juga melakukan perkara yang sama. Bezanya, masa. Ya, sebagai seorang isteri dan ibu yang bekerja, masa sangat-sangat berharga buat saya. Saya sentiasa merasakan tidak cukup waktu 24 jam yang ada untuk menyelesaikan semua kerja. Kalau pun cukup masa, badan pula sudah teramat letih. Namun tanggungjawab tetap perlu dilaksanakan.
Bila terpaksa keluar bekerja, semestinya waktu untuk keluarga juga akan kurang. Betapa saya tidak suka saat saya terpaksa keluar bekerja bila encik suami di rumah bersama anak. Rasa berat hati mahu ke tempat kerja kerana saya merasakan itulah waktunya untuk bersama keluarga. Apakan daya, inilah rutin saya. Mudah-mudahan saya berpeluang mencapai cita-cita untuk menjadi suri rumah sepenuh masa suatu hari nanti.
---------------------------------------------------------------------
Iklan:
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fan page
3. Kelas penulisan kreatif
3. Kelas belajar iklan mudah.my
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus onlne dibuka
6. Kelas asas akaun bisnes kecl wahm/soho
2. Kelas asas blog dan fan page
3. Kelas penulisan kreatif
3. Kelas belajar iklan mudah.my
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus onlne dibuka
6. Kelas asas akaun bisnes kecl wahm/soho
Tiada ulasan:
Catat Ulasan